Perbadanan Putrajaya, TNB jalin kerjasama bagi pembangunan bandar pintar dan rendah karbon
Bernama
Jun 4, 2024 15:05 MYT
Jun 4, 2024 15:05 MYT
PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang memfokuskan kepada pembangunan tenaga elektrik, tenaga boleh baharu serta pembangunan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon di Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerjasama itu merangkumi pembangunan, penyelenggaraan, penyelidikan dan latihan berkaitan tenaga boleh baharu termasuk pembangunan solar bumbung, kenderaan elektrik dan infrastruktur, tenaga berkaitan infrastruktur awam serta menjadikan Putrajaya sebagai lokasi makmal hidup untuk teknologi berkaitan tenaga.
"Kerjasama ini menyokong usaha kerajaan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) serta beberapa pelaksanaan di Putrajaya termasuk Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya (2018-2025) dan Pelan Hala Tuju Putrajaya Bandar Rendah Karbon menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU dan SARE berkenaan di sini hari ini. Turut hadir Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Retail TNB Kamal Arifin A. Rahman.
Menurutnya kerjasama itu mampu membawa penjimatan berjumlah RM2.5 juta kepada PPj bagi tempoh 20 tahun.
Selain itu Dr Zaliha berkata MoU berkenaan juga selari ke arah menjayakan visi 'C.H.A.S.E City' (bandar bersih, sihat, maju, selamat and mesra alam) yang digagaskan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata sebagai permulaan program SARE, TNB melalui anak syarikatnya GSPARX akan memasang sistem solar berkapasiti 363 kilowatt (kWp) di Kompleks PPj dan lapan lagi bangunan utama antaranya Taman Ekuestrian Putrajaya dan Kelab Tasik Putrajaya yang dijangka siap awal tahun depan.
Katanya GSPARX turut menawarkan tawaran promosi khas solar untuk 200 kediaman kepada warga Putrajaya yang ingin menggunakan tenaga hijau di samping menikmati penjimatan bil elektrik.
Promosi akan berlangsung dua bulan bermula 1 Jun hingga 31 Julai ini melalui tiga kaedah permohonan iaitu secara fizikal di Kedai Tenaga Putrajaya, melalui telefon di talian 0103376769/01136463837 atau emel di retail.putrajaya@tnb.com.my.
Dr Zaliha berkata MoU itu juga akan menyaksikan beberapa usaha ke arah tenaga hijau antaranya pemasangan 28,000 tiang lampu diod pemancar cahaya (LED) di sekitar Putrajaya dan 500 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 daripada 18 stesen setakat ini.
-- BERNAMA