Perayaan Gawai Dayak harus dapat liputan media arus perdana - Gobind
Bernama
Mei 18, 2019 11:20 MYT
Mei 18, 2019 11:20 MYT
Menteri Komunikasi Dan Multimedia Gobind Singh Deo menyokong penuh agar perayaan Hari Gawai Dayak di Sarawak diangkat ke martabat yang selayaknya dan mendapat liputan dan tempat yang berpatutan di saluran media arus perdana.
Beliau berkata dengan adanya liputan dari arus media perdana di bawah naungan Malaysia Baharu, generasi muda dapat didedahkan kepada kekayaan dan kehalusan seni budaya serta adat masyarakat mereka yang mungkin jarang dapat mereka saksikan.
"Saya difahamkan bahawa masyarakat Dayak amat kaya dengan adat dan budaya yang tinggi.
"Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan negara kita dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia," katanya ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini hari ini.
Gobind berkata beliau sangat gembira dengan tema sambutan pada kali ini iaitu "Bejalai Betungkatka Adat, Tinduk Bepangalka Pengingat", yang turut dimeriahkan dengan perserta kaum Dayak dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Gobind yang menyampaikan ucapan Selamat Hari Gawai dan juga Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berkata, rakyat Malaysia bersyukur kerana dapat meraikan perayaan mereka dalam keadaan tenteram dan harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurutnya, situasi serta suasana aman dan selamat seperti itu membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada program-program pembangunan negara demi mempertingkatkan taraf hidup rakyat samada dari segi ekonomi, pendidikan, infrastruktur massa, kebudayaan serta keagamaan.
Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan Malaysia dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia.
"Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.
Kepelbagaian rakyat Malaysia adalah sesuatu yang patut diraikan dan diperkukuhkan bersama, demi masa hadapan yang lebih cerah dan makmur," katanya.
Sebelum itu beliau melepaskan dan menyertai lebih 3,000 peserta perarakan program 'Ngerandang Jalai Gawai' yang berarak sejauh 1.7km dari tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu itu ke sebahagian daripada pusat bandar Bintulu sebelum kembali ke tapak perlepasan semula.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari persatuan Dayak tempatan dan juga dari Kalimantan Barat serta pertunjukkan fesyen etnik Dayak.
-- BERNAMA
#Aidilfitri
#Bintulu
#Gobind Singh Deo
#Hari Gawai Dayak
#hari raya
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#pendidikan
#rakyat Malaysia