Peratusan permohonan kakitangan perkhidmatan awam OKU masih rendah

Faida Rahim
Mac 4, 2024 12:14 MYT
Beliau memberitahu peratusan calon OKU dalam permohonan sektor awam diterima SPA menunjukkan dari 2019 hingga 2023 hanya 0.3 peratus ke 0.64 peratus sahaja diterima.- Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Pengisian golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam untuk tempoh 10 tahun iaitu dari 2014-2023 masih tidak mencapai sasaran seperti ditetapkan pada kadar satu peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata walau bagaimanapun menurut statistik pencapaian dasar satu peratus tetap menunjukkan corak peningkatan.
"Pada tahun 2014, pencapaiannya adalah 0.23 peratus, kemudian 0.25 peratus pada 2015, 0.28 pada 2016, 0.29 peratus pada 2017 hingga 2022 dan 0.3 peratus pada tahun 2023," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (Arau) berhubung statistik 10 tahun terkini peratusan pekerja OKU dalam sektor awam sejak diperkenal Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU) pada tahun 1988 dan jenis-jenis cabaran yang dihadapi golongan itu sepanjang perkhidmatan mereka.
Dalam pada itu, beliau memberitahu peratusan calon OKU dalam permohonan sektor awam diterima Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menunjukkan dari 2019 hingga 2023 hanya 0.3 peratus ke 0.64 peratus sahaja diterima.
JPA juga sedang menjalankan kajian kepuasan bekerja dalam kalangan penjawat awam OKU dan beberapa data menunjukkan antara faktor ialah keupayaan dan kompetensi penjawat awam OKU dalam menyesuaikan diri dengan penyelia, rakan sekerja dan persekitaran organisasi.
Ini termasuk keadaan yang tertekan dengan tuntutan kerja dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik, mungkin atas keterbatasan dan aspek penerimaan ketua jabatan menyediakan sokongan yang diperlukan.
"Menyedari pencapaian yang rendah dan cabaran-cabaran yang dihadapi penjawat awam OKU, maka Dasar Satu Peratus ini akan ditambah baik dari segi pelaksanaannya di masa hadapan. Kerajaan sentiasa komited dan responsif terhadap isu-isu semasa yang dihadapi penjawat awam OKU untuk keluar dan pulang bekerja dengan selamat," katanya.
#Dr Zaliha Mustafa #OKU #penjawat awam #Dewan Rakyat
;