Peratusan pengundi atas pagar meningkat sejak 2008 - IDE
Faida Rahim
Julai 21, 2023 09:30 MYT
Julai 21, 2023 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan trend pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dicatatkan sejak tahun 2008.
Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman, kajian yang dijalankan menunjukkan sebanyak 26 peratus responden menunjukkan tidak menyokong atau menganggotai mana-mana parti politik.
Kata beliau, sebanyak 12 peratus pula menunjukkan mereka adalah ahli parti. Mereka yang akan mencorakkan keputusan pilihan raya. Kemudian dalam konteks demokrasi di Malaysia, kita sudah melepasi tahap sebuah negara demokrasi yang matang.
“Bila matang ini menunjukkan perubahan boleh berlaku dan rakyat tidak takut berdepan dengan risiko bertukar kerajaan atau pemerintahan,” katanya kepada Astro AWANI pada pembentangan kajian sentimen rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam masa sama, katanya, 5 peratus perubahan undi akan memberikan kesan kepada keputusan akhir pilihan raya sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.
Beliau turut menegaskan, peranan pengundi atas pagar amat penting dan tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana parti politik untuk mencapai kemenangan.
Dalam kajian dijalankan IDE terhadap 1,693 responden dalam kajian persepsi pengundi menjelang PRN menunjukkan sebanyak 58 peratus responden dari Selangor menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan, 16 peratus kepada Perikatan Nasional manakala selebihnya merupakan pengundi atas pagar.
“Pengundi atas pagar ini juga banyak isu yang mereka akan beri perhatian termasuk pengangguran dan perkara yang berkaitan diri mereka dan menjejaskan mereka seperti kenaikan harga barang umpamanya.
“Hal yang sama berlaku pada 2018, apabila isu GST yang menyentuh semua orang. Dan apabila isu itu menjadi isu nasional, pengundi atas pagar memihak secara keseluruhannya kepada pihak pembangkang pada waktu itu. Dalam konteks itu kita melihat bahawa naratif yang betul, memenangi hati rakyat, akan menentukan siapa yang akan dipilih pengundi atas pagar di PRU akan datang,” kata beliau lagi