Peratusan OKU berdaftar rendah sukarkan usaha cungkil baharu atlet para - Hannah
Bernama
Disember 14, 2023 14:29 MYT
Disember 14, 2023 14:29 MYT
KUALA LUMPUR: Peratusan penduduk Malaysia berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) yang rendah menyukarkan usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu atlet para, Dewan Negara diberitahu.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ketika ini jumlah OKU berdaftar adalah sebanyak 685,602 orang dan bilangan itu adalah rendah berbanding keseluruhan populasi penduduk negara ini yang melebihi 33 juta orang.
"Kalau kita lihat statistik tahun ini, OKU di Malaysia dianggarkan sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk berdasarkan piawaian global tetapi setakat ini hanya 685,602 orang direkodkan mempunyai kad OKU.
"Ini menjadi antara cabaran kepada kita untuk mencari atlet para dalam kalangan lebih 600,000 orang ini untuk digilap sebagai atlet mengikut umur dan jenis sukan yang bersesuaian," katanya pada sesi jawab lisan hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Sivaraj Chandran yang ingin tahu jumlah peruntukan dan program yang dilaksanakan bagi pembangunan atlet para.
Hannah berkata untuk itu, KBS telah menaikkan peruntukan geran pentadbiran kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kepada RM172,000 tahun ini berbanding RM100,000 sebelumnya, bagi tujuan penggajian tiga kakitangan baharu untuk MPM menganjurkan program pencarian bakat di peringkat negeri dan daerah.
Selain itu, beliau berkata kementerian berpandangan peruntukan sebanyak RM19 juta yang disediakan kerajaan bagi program pembangunan atlet para adalah memadai buat masa ini.
Hannah berkata peruntukan itu antara lain digunakan bagi membiayai Program Podium Para, program pembangunan melibatkan atlet pelapis para, mencungkil bakat-bakat baharu melalui penubuhan pusat latihan negeri dan daerah, penganjuran sirkit kejohanan dan kem bakat selain geran bantuan pentadbiran kepada MPM dalam melaksanakan program pembangunan atlet para di peringkat negeri.
"Bagaimanapun, MPM sentiasa mempunyai peluang untuk mengemukakan cadangan dan pelan pelaksanaan bagi program pembangunan atlet para dan kerajaan akan mempertimbang peruntukan yang bersesuaian bagi memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaiknya," katanya.
-- BERNAMA