Peratusan mengundi PRK kecil: 'Tunggulah PRU15 nanti...'
Hilal Azmi, Madiha Abdullah
September 9, 2018 14:12 MYT
September 9, 2018 14:12 MYT
Faktor "kerajaan tidak akan terjejas" menjadi antara penyebab mengapa peratusan mengundi di tiga pilihan raya kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sangat rendah.
Baik yang berada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, bagi mereka keputusan PRK tidak akan mengubah parti yang kini memerintah.
Justeru, mereka tiada motivasi untuk turun menunaikan tanggungjawab.
Itu dapatan yang diperoleh Astro AWANI melalui respon di laman sosial selepas diutarakan persoalan itu sejak awal pagi ini.
Rata-rata netizen didapati hanya melihat kepentingan pilihan raya umum untuk mengubah hala tuju dan masa depan negara.
Satu lagi faktor yang dilihat memainkan peranan besar adalah emosi rakyat yang masih belum stabil selepas tamatnya tempoh 100 hari yang diberi untuk Pakatan Harapan menunaikan manifesto.
Menerusi respon yang diberikan, netizen, terutama penyokong PH, seolah-olah hilang 'angin' untuk mengundi kerana masih ada janji dalam manifesto PRU14 yang belum ditunaikan.
Dalam tiga PRK yang baru berlalu, peratusan keluar mengundi hanya di bawah 50 peratus dengan DUN Balakong mencatat peratusan terendah iaitu 43 peratus, DUN Seri Setia (44 peratus), dan DUN Sungai Kandis (49.8 peratus).
#BALAKONG
#kerajaan
#Pakatan Harapan
#pengundi
#peratusan
#pilihan raya
#pilihanraya kecil
#PRK
#seri setia
#sungai kandis