Peraturan Eropah bersifat diskriminasi sekat industri sawit negara - Fadillah

Bernama
Jun 11, 2023 20:33 MYT
Fadillah berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia mengenai amalan diskriminasi itu yang turut memberi kesan kepada industri sawit di negara tersebut. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
BALING: Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan beberapa peraturan lain yang diperkenal Eropah dilihat satu bentuk diskriminasi yang bertujuan menyekat perniagaan dan industri sawit negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peraturan tersebut selain Perjanjian Hijau Eropah merupakan cadangan untuk menyekat kemasukan produk negara ini yang lebih produktif dan progresif berbanding produk yang dihasilkan di Eropah.
"Sebagai contoh, berbanding minyak sawit kita dengan minyak soya, mereka memerlukan tanah yang lebih besar untuk menghasilkan minyak dan mereka terpaksa buang dan menanam semula untuk mendapatkan hasil. Ini berbeza dengan sawit yang ditanam pada hari ini yang boleh mendapat hasil sehingga 25 tahun.
"Oleh itu, kos kita akan lebih rendah. Untuk mereka bersaing dengan kita, mereka memperkenalkan banyak perkara yang bagi kita boleh menyebabkan kos perniagaan lebih mahal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Getah Warung di Kampung Charok Gorok di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia mengenai amalan diskriminasi itu yang turut memberi kesan kepada industri sawit di negara tersebut.
"Malah, bukan sahaja di peringkat antara Malaysia dan Indonesia, kita telah bersetuju yang mana Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada masa ini untuk membawa perkara tersebut ke peringkat perbincangan ASEAN," katanya.
Baru-baru ini, Fadillah dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi (KOMENKO) Indonesia Dr Airlangga Hartarto telah menyertai misi bersama ke Kesatuan Eropah untuk melindungi kepentingan sektor minyak sawit kedua-dua negara.
Misi itu adalah di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Sebelum ini, Presiden Indonesia Joko Widodo semasa mengadakan lawatan kerja ke Malaysia baru-baru ini dilaporkan turut mahu kolaborasi lebih erat di antara kedua-dua negara dalam menentang diskriminasi terhadap minyak sawit.
-- BERNAMA
#ASEAN #Kesatuan Eropah #KOMENKO #CPOPC
;