Peraturan baharu cermin gelap kenderaan diumum hari ini - Loke

Bernama
Mei 6, 2019 05:23 MYT
Loke berkata sesiapa yang ingin mendapat pengecualian untuk menggunakan cermin gelap memerlukan surat kebenaran daripada Ketua Pengarah JPJ dan bayaran tambahan juga akan dikenakan. - Gambar hiasan
Peraturan baharu mengenai penggunaan cermin gelap kenderaan akan diumum hari ini dalam satu sidang media selepas mesyuarat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
"Kita sudah berbincang dalam kementerian bersama dengan JPJ. Memang kita akan membuat pindaan terhadap peraturan cermin gelap yang akan saya umumkan pada sidang media esok selepas perjumpaan dengan JPJ secara muktamad," katanya kepada Bernama selepas program temu bual 'The Nation' terbitan Bernama News Channel, pada Isnin.
Loke berkata sesiapa yang ingin mendapat pengecualian untuk menggunakan cermin gelap memerlukan surat kebenaran daripada Ketua Pengarah JPJ dan bayaran tambahan juga akan dikenakan.
"Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pengecualian mesti ada alasan atas isu keselamatan atau kesihatan.
"Tetapi saya nak perjelaskan jangan ada mana-mana pihak salah faham bahawa kita nak kenakan caj kepada semua orang. Kalau mengikut peraturan yang kita tetapkan tidak ada bayaran kepada kerajaan, bayaran hanya dikenakan kepada mereka yang minta pengecualian terhadap peraturan itu sahaja," katanya. -- Bernama
#Anthony Loke Siew Fook #cermin gelap #Jabatan Pengangkutan Jalan #JPJ #Menteri Pengangkutan #peraturan baharu cermin gelap
;