Peraturan baharu cermin gelap diumum Mei ini
Bernama
April 29, 2019 06:00 MYT
April 29, 2019 06:00 MYT
Peraturan baharu mengenai cermin gelap akan diumumkan awal bulan depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.
Menurutnya, dasar baharu yang hampir muktamad itu akan menekankan isu ketelusan dari segi proses permohonan disamping meningkatkan hasil kerajaan.
"Sejak Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah membekukan kelulusan permohonan baharu penggunaan cermin gelap kerana terdapat ketirisan dan kelemahan pada dasar yang sedia ada," katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini pada Isnin.
Garis panduan mengenai cermin gelap pada kenderaan diubah beberapa kali sebelum ini semasa di bawah pentadbiran kerajaan lama.
Peraturan sedia ada yang diguna pakai ketika ini adalah di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) iaitu cermin depan 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).
Mengulas mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dijenamakan semula kepada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), Kamarudin berkata kerajaan tidak bercadang memansuhkan sistem berkenaan kerana penguatkuasaanya penting bagi mengawal kemalangan jalan raya di negara ini.
"Analisis oleh pihak MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) menggunakan data kemalangan dari PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia menunjukkan terdapat pengurangan 25 peratus kes kemalangan di lokasi kamera had laju AWAS di lebuh raya pada 2018 berbanding tahun 2017," katanya.
Kajian tersebut juga menunjukkan impak pelaksanaan AWAS di enam lokasi rintis telah menunjukkan secara purata kadar kepatuhan yang lebih tinggi bagi had laju iaitu 95 peratus berbanding sebelumnya 63 peratus, katanya.
Bagi empat lokasi rintis lampu isyarat yang dipasang kamera AWAS pula, kadar pematuhan lampu isyarat juga meningkat daripada 96 peratus kepada 98 peratus.
"Peningkatan ketara dalam pematuhan had laju dan lampu isyarat menunjukkan bahawa AWAS mampu melahirkan pengguna berhemah yang patuh kepada peraturan jalan raya," katanya.
Persidangan bersambung Selasa.