Perasuah semakin licik, perlu sokongan semua pihak terutama media - Azam Baki

Faida Rahim
April 26, 2024 22:39 MYT
Azam berkata, SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej anti rasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini.- Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Rasuah merupakan jenayah yang unik sifatnya pada masa kini dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya media untuk membanterasnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, selain itu sokongan juga diperlukan daripada Institusi Diraja, kepimpinan politik, kerajaan, swasta dan masyarakat, dan disifatkan penting bagi membantu agensi itu.
"Penjenayah rasuah pada masa kini semakin licik dan berpengetahuan dalam mengatasi kelemahan undang-undang sedia ada.
"Era dunia tanpa sempadan dan perkembangan pesat teknologi maklumat menyebabkan tugas membanteras rasuah semakin mencabar dan bertambah kompleks," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Anugerah Media SPRM di sini pada Jumaat.
Azam berkata, SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej anti rasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini.
Ini termasuk di agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat pendidikan dan juga masyarakat di setiap program, operasi atau aktiviti dijalankan.
Dalam masa sama, Azam menasihatkan masyarakat agar tidak menjadikan berita di media sosial khususnya berkaitan siasatan yang dijalankan agensi penguatkuasaan sebagai sumber utama yang boleh dipercayai.
Sebaliknya, beliau berkata, media arus perdana perlu diyakini berbanding sumber pemberitaan lain, khususnya dalam mendapatkan kebenaran berhubung perkara yang dibangkitkan di media sosial.
Katanya, ini kerana media arus perdana terdiri daripada kelompok profesional dan terbukti mempunyai etika kewartawanan cemerlang.
#SPRM #Azam Baki #Rasuah #Media #unik
;