Peras ugut: Bebas 10 minit, enam anggota polis ditahan semula

Rudi Affendi Khalik
Ogos 14, 2017 11:52 MYT
Kelegaan enam pegawai dan anggota polis yang ditahan reman sebelum ini tetapi dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi, hanya bertahan selama 10 minit.
Kelegaan enam pegawai dan anggota polis yang ditahan reman sebelum ini untuk membantu siasatan kes peras ugut, hanya bertahan selama 10 minit.
Ini kerana sebaik keluar dari Mahkamah Majistret Kuching, mereka ditahan semula untuk membantu lagi siasatan kes lain pula.
Tangkapan semula tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan di Balai Polis Sekama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk S. Dev Kumar mengesahkan tangkapan semula tersebut, sebentar tadi.
Lima anggota dan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor itu, sebelum ini ditahan reman sejak 9 Ogos selama lima hari, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memeras ugut orang awam.
Terdahulu, Dev berkata tangkapan terhadap keenam-enam suspek dibuat selepas dua individu membuat laporan polis berhubung perbuatan jenayah yang dilakukan mereka di Batu Kawa, Sematan, Lundu.
Keenam-enam mereka ditangkap dalam satu operasi khas yang dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9 IPK Sarawak pada 9 Ogos.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
#anggota polis #Dev Kumar #Kanun Keseksaan #peras ugut #Sarawak
;