Perarakan kemenangan KL City FC dibatalkan - Annuar Musa
Bernama
Disember 2, 2021 23:59 MYT
Disember 2, 2021 23:59 MYT
KUALA LUMPUR: Warga kota terpaksa melupakan hasrat untuk meraikan kejayaan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC yang menjuarai Piala Malaysia 2021, apabila perarakan kemenangan dibatalkan atas faktor keselamatan dan kesihatan orang ramai.
Presiden KL City FC Tan Sri Annuar Musa yang akur dengan pembatalan acara itu berkata aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal tidak sesuai dilakukan, ketika pandemik COVID-19 masih melanda negara ketika ini.
"Dukacita dimaklumkan, 'Victory Parade KL City' esok terpaksa dibatalkan.
"Keselamatan dan kesihatan penyokong KL City dan warga kota kita utamakan," kata Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam ciapan di laman Twitternya malam ini.
Perarakan tersebut dijadual bermula di Dataran Merdeka sekitar 4.45 petang esok dan akan melewati Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Campbell, Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Bangunan KLCC, Menara KL, sekitar Bukit Bintang dan seterusnya akan berhenti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Dalam aksi final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Selasa lepas, KL City FC mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0, sekali gus menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul kejuaraan piala berprestij itu.
-- BERNAMA