Perarakan Chingay 2022 dibenarkan dalam skala kecil
Bernama
Februari 16, 2022 22:28 MYT
Februari 16, 2022 22:28 MYT
JOHOR BAHRU: Sambutan dan perarakan Chingay 2022 yang dijadualkan bermula 19 hingga 22 Feb ini dibenarkan, namun dalam skala kecil dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata jumlah peserta yang akan terlibat bagi acara tersebut juga telah ditetapkan antara 100 hingga 220 orang mengikut hari berbeza.
Raub berkata sepanjang tempoh empat hari sambutan perayaan tersebut, beberapa jalan utama di bandar raya ini juga akan ditutup.
"Pada hari kemuncak perarakan Chingay iaitu pada 21 Feb, sebanyak 13 laluan akan ditutup bermula pukul 7 malam hingga 3 pagi keesokannya.
"Antara laluan berkenaan adalah Jalan Ulu Ayer Molek, Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Gertak Merah, Jalan Yahya Awal, Jalan Syed Mohd Mufti, Jalan Dato' Onn, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak dan juga jejambat berhak Danga City Mall," katanya.
POLIS-CHINGAY 2 (AKHIR) JOHOR BAHRU
Raub berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, di pejabat persatuan itu, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menambah hanya penganut yang berdaftar dengan persatuan sahaja dibenarkan untuk terlibat dalam perayaan berkenaan dan semua pihak perlu mematuhi undang-undang ditetapkan.
"Masyarakat awam tidak digalakkan untuk terlibat sama walaupun hanya sebagai penonton kerana seramai 361 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh empat hari itu.
"Polis akan memberi nasihat agar masyarakat tidak berkumpul beramai-ramai dan sekiranya mereka berdegil, tindakan kompaun akan diambil," tambah beliau.
-- BERNAMA