Perarakan: 5 lagi Ahli Parlimen pembangkang selesai beri keterangan - Polis

Bernama
Ogos 6, 2021 23:15 MYT
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran antara yang dipanggil memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada Jumaat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lima lagi Ahli Parlimen pembangkang selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini berhubung perarakan Ahli Parlimen pembangkang ke bangunan Parlimen baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delihan Yahaya ketika dihubungi berkata mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai) dan Gobind Singh Deo (Puchong).
Pada 4 Ogos lepas enam Ahli Parlimen pembangkang hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan, manakala semalam tiga lagi turut berbuat demikian.
Perarakan Ahli Parlimen Pembangkang dihalang
BACA: Polis akan panggil Ahli Parlimen pembangkang terbabit perhimpunan - Bukit Aman
Isnin lepas, Ahli Parlimen pembangkang cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.
Kumpulan itu kemudian bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan polis.
-- BERNAMA
#perarakan #perhimpunan #Ahli Parlimen Pembangkang #Mesyuarat Khas Parlimen #tidak dibenar masuk #Bantahan #polis #keterangan #IPD Dang Wangi
;