PerantiSiswa ada sistem pengesan, tindakan boleh diambil terhadap penerima cuba jual - Annuar
Astro Awani
Oktober 25, 2022 18:57 MYT
Oktober 25, 2022 18:57 MYT
PUTRAJAYA: Tablet PerantiSiswa yang diberikan secara percuma kepada mahasiswa golongan keluarga B40 mempunyai aplikasi sistem pengesan yang membolehkan lokasinya dikesan, termasuk sama ada berada di kawasan kampus atau sebaliknya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, memaklumkan sistem berkenaan dibina ketika ia mula ditempah.
Annuar menjelaskan, dengan adanya sistem pengesan itu, pihaknya dapat mengetahui sama ada ia diguna oleh penerima peranti tersebut atau sebaliknya.
Beliau menjelaskan, pihaknya memandang serius tindakan mahasiswa yang menjual peranti tersebut.
"Inilah adalah satu tindakan yang tidak wajar dan kementerian selaku agensi pelaksana memandang serius perkara ini.
"Saya ingin memaklumkan peranti ini sewaktu ditempah telah mempunyai aplikasi tertentu dibina termasuk tracking system dan kita boleh tahu peranti itu berada di mana sama ada di kampus atau dengan pihak lain yang tidak sepatutnya.
"Yang kedua, mahasiwa yang memohon telah membuat aku janji mereka layak dan akan menggunakan sendiri, menjual bermakna telah melanggar aku janji tersebut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Selasa.
Annuar menjelaskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai keupayaan untuk mengesan mahasiswa yang menjual peranti tersebut.
"Mereka-mereka yang mengambil tindakan sedemikian yakni menjual ada langkah-langkah tertentu yang boleh kita ambil.
"Antara tindakan yang boleh diambil adalah memaparkan nama-nama mereka kepada umum sama ada di portal PerantiSiswa dan juga memaklumkan kepada universiti yang berkenaan," katanya lagi.
Sehingga kini, katanya terdapat 14 kes membabitkan penerima dikesan cuba menjual tablet itu, dan ada peranti yang telah disekat penggunaannya.
Annuar memaklumkan setakat ini hampir 300,000 permohonan telah diluluskan bagi pemberian table PerantiSiswa.