KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Astro menjalin kerjasama bagi memantau premis perniagaan yang menayangkan siaran hiburan menggunakan peranti penstriman tidak sah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendent Ashari Abu Samah berkata, masyarakat perlu menghentikan penggunaan peranti yang tidak dibenarkan kerana ia menyalahi undang-undang.

Jelasnya, satu program lawatan ke beberapa lokasi premis perniagaan yang dikesan menggunakan peralatan penstriman tidak sah, telah diadakan pada Selasa.

"Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Feb 2022 telah mula dikuatkuasakan mulai 17 Mac tahun ini.

"Jika disabitkan kesalahan, individu yang melanggar akta tersebut boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pindaan ini memperkenalkan beberapa perubahan kepada akta bertujuan menguatkuasakan undang-undang terhadap pelanggaran hak cipta menerusi teknologi penstriman," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, ia sekali gus bertujuan memberi kesedaran kepada premis-premis perniagaan yang menayangkan siaran hiburan menggunakan perkhidmatan berbayar seperti Astro atau lain-lain penyedia perkhidmatan, bahawa penggunaan tidak sah merupakan satu kesalahan.