Peranti pintar merencat komunikasi dalam keluarga

Abdul Mutalib Embong, Muhamad Khairul Zakaria
Oktober 22, 2023 19:54 MYT
Komunikasi kekeluargaan makin berkurangan dan dipengaruhi perkembangan teknologi canggih yang mempunyai banyak kesan negatif jika tidak dikawal. -Gambar hiasan/Unsplash
SUDAH menjadi lumrah melihat sesebuah keluarga di premis makanan akan asyik dengan telefon dan dalam dunia masing-masing sementara menunggu hidangan dipesan tiba di meja.
Sang bapa melayan chatting dengan rakan-rakan lama sekolah manakala si isteri leka dengan kumpulan WhatsApp-nya.
Si abang pula sibuk dengan permainan video secara rangkaian. Sesekali dia mengekek ketawa apabila musuh alam mayanya berjaya ditumpaskan.
Apabila hidangan yang dipesan tiba, si kakak sibuk memuat naik gambar makanan di laman media sosial.
Semua seolah dibuai kebahagian tersendiri apabila kemudahan di hujung jari sudah bertakhta di hati.
Bahkan anak kecil seawal usia kurang dua tahun turut diumpan dengan peranti elektronik seperti tablet supaya ralit dengan permainan atau rancangan kegemaran serta tidak membuat bising.
Natijahnya, komunikasi kekeluargaan makin berkurangan dan dipengaruhi perkembangan teknologi canggih yang mempunyai banyak kesan negatif jika tidak dikawal.
Sejujurnya, anak-anak yang belum matang dan di dalam menjalani proses pembesaran mudah berubah dan boleh dipengaruhi dalam banyak cara.
Penggunaan dan akses internet yang bebas, tidak terkawal dan mampan ada masanya boleh memberi impak yang tidak diingini.
Ketiadaan tapisan maklumat yang kukuh, dan keadaan sosial sekeliling yang padat, sempit, dan terhad memberi ruang kepada penyalahgunaan media sosial ini.
Umumnya ia memberi kesan kepada cara mereka berkomunikasi dan agresif akibat terlalu ketagih dengan telefon pintar.
Tular satu ketika dahulu berita seorang kanak-kanak lelaki menendang dan memukul ibunya beberapa kali ketika wanita itu sedang menyidai pakaian.
Kejadian berpunca apabila permintaan kanak-kanak tersebut untuk membeli tambah nilai (top up) permainan video dan judi dalam talian tidak dituruti.
Selain itu, keyboard warrior atau pahlawan papan kekunci turut melengkapi ciri-ciri kebanyakan anak-anak masa kini.
Dengan kehadiran wi-fi dan 5G, mereka menelusuri laman sosial di mana sahaja dan melupakan kehadiran rakan maujud.
Mereka sangat hebat memberi komentar di sebalik jari-jari yang menaip berhubung sesuatu isu, tetapi sangat pasif dan menikus apabila berada dalam kalangan kelompok sosial seperti di dalam kelas ataupun khalayak ramai.
Akibatnya mereka kurang berketerampilan, gugup, tidak yakin pada diri sendiri, dan bersifat antisosial.
Kecanduan terhadap peranti juga mendorong anak-anak menjadi kurang empati dan tidak sensitif terhadap individu lain serta alam sekeliling.
Seterusnya mereka akan terjerat dengan gejala buli siber, memuat naik apa saja perkongsian di laman sosial tanpa memikirkan kesan negatif dan implikasi yang bakal timbul.
Kajian kes buli siber menunjukkan situasi melibatkan pelajar sekolah dan universiti adalah lebih tinggi berbanding golongan dewasa.
Statistik turut memperlihatkan kes ini meningkat tahun demi tahun. Contohnya sebanyak 250 kes dicatatkan pada tahun 2012, berbanding 338 kes pada tahun 2016.
Lebih membimbangkan,sejumlah 1,524 kes dilaporkan sejak lima tahun kebelakangan.
Maka tidak hairanlah jika Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber.
Ironinya, semua ini berlaku kerana kecuaian dan kurangnya kesedaran ibu bapa atau penjaga dalam mengawal penggunaan peranti dan internet oleh anak-anak.
Maka mediasi dan pemantauan ibu bapa sangat perlu dalam isu ini.
Ia merujuk kepada hubungan komunikasi secara bersemuka di antara anak-anak dan ibu bapa di dalam penggunaan alat peranti dan akses kepada internet.
Jika perkara ini berjaya dilaksanakan pada peringkat awal, ia akan menjadi batu asas kepada hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni.
Pada masa sama, keselamatan anak-anak di dunia siber yang terus berkembang pada masa akan datang akan turut terjamin.

Muhamad Khairul Zakaria and Abdul Mutalib Embong adalah pensyarah dari English Learning Centre (ELC), Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL)
(PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#peranti pintar #komunikasi dalam keluarga #pahlawan papan kekunci #antisosial
;