Peranti haram buka laluan mudah untuk penjenayah siber

Astro Awani
Oktober 4, 2024 18:00 MYT
Peranti haram, mungkin mengandungi perisian yang dicipta dengan niat yang jahat, sekali gus mendedahkan pengguna terhadap peringkatan risiko serangan siber, penipuan, serta pelanggaran data peribadi. - Pixabay
KUALA LUMPUR: Peranti TV haram mungkin boleh menyediakan laluan kepada kandungan yang tidak berkesudahan, tetapi ia sebenarnya bertindak sebagai pintu kepada penjenayah siber untuk mengelak daripada pelesenan dan saluran yang patuh kepada undang-undang.
Memetik artikel The Star, peranti ini sudah pasti tidak tertakluk kepada standard keselamatan yang ketat, yang selama ini melindungi pengguna platfrom yang sah.
Peranti seperti itu, mungkin mengandungi perisian yang dicipta dengan niat yang jahat, sekali gus mendedahkan pengguna terhadap peringkatan risiko serangan siber, penipuan, serta pelanggaran data peribadi.
“Pakar keselamatan siber sudah memberi amaran tentang bagaimana peranti penstriman tidak sah mampu membuka ruang kepada perisian berbahaya, yang boleh menembusi rangkaian rumah. Apabila itu berlaku, program itu boleh mencuri maklumat peribadi yang sensitif seperti maklumat perbankan, kata laluan, malah akses kepada e-mel atau foto ahli keluarga.
“Akibat daripada pelanggaran ini, boleh menjadi sesuatu yang dasyat, seperti kerugian kewangan, pencurian identiti, atau mungkin teruk lagi,” menurut artikel itu lagi.
Ia berkata, rakyat Malaysia digesa untuk mendidik diri tentang kepentingan memilih platform yang sah, bagi memastikan keselamatan keluarga.
Antara langkah yang boleh diambil ialah:
Menggunakan kata laluan yang unik dan sukar diteka dan mengaktifkan pengesahan dua faktor; memasang ‘firewall’dan memastikan semua peranti dikemas kini dengan kerap untuk melindungi daripada kelemahan.
Ibu bapa juga digalakkan untuk mengaktifkan kawalan bagi memberikan lapisan perlindungan tambahan; serta berpegang pada platform penstriman bereputasi yang mematuhi peraturan privasi yang ketat dan memastikan data selamat.
“Anda boleh menikmati hiburan anda tanpa perlu risau tentang perisian hasad, serangan pancingan data atau ancaman digital lain yang biasanya dikaitkan dengan peranti haram.
“Ia adalah harga yang kecil untuk dibayar untuk melindungi keluarga anda daripada akibat keselamatan siber yang terjejas,” menurut artikel itu lagi.
#peranti haram #keselamatan siber #rakyat Malaysia #peranti penstriman haram
;