Peranti bukan pengganti diri

Syah Hairizal Kamalul Arifin
April 19, 2017 20:00 MYT
Pelajar sekolah tidak hanya boleh mengakses kepada maklumat pelbagai genre berbentuk tulisan malah visual.
NEGARA sememangnya telah maju dalam penggunaan teknologi maklumat, lebih-lebih lagi apabila melihat kepada kerancakan penggunaan media sosial di kalangan rakyat Malaysia.
Capaian jalur lebar semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seluruh negara.
Tawaran dari syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi saban hari menjanjikan kos yang lebih murah sama ada pengguna persendirian mahupun jalur lebar tanpa wayar.
Perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar percuma kini juga boleh didapati di mana-mana -- bermula di bangunan-bangunan kerajaan, pusat membeli-belah, restoran hinggalah ke kedai dobi layan diri.
Penyediaan perkhidmatan dapat dilihat bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat atau melakukan urusan berkaitan urusan atas talian dengan lebih lancar.
Premis pendidikan seperti sekolah juga tidak ketinggalan dengan perkembangan teknologi tersebut.
Itulah yang harus dilakukan bagi mencerna minda alaf ke-21 agar mereka lebih celik IT dan mampu menjadi lebih kreatif.
Namun keburukan virus yang ditakuti berlaku pada tahun 2000 dulu telah lama bermula dan ia ibarat anai-anai memakan kayu.
Ia berlaku secara perlahan tanpa disedari.
Pelajar sekolah tidak hanya boleh mengakses kepada maklumat pelbagai genre berbentuk tulisan malah visual.
Dan mungkin tidak lama lagi, pelajar sekolah sudah boleh melayari perkhidmatan jalur lebar tersebut melalui peranti atau gajet mereka sendiri atas kelulusan kementerian di sekolah-sekolah dan asrama.
Mungkin ia akan memudahkan pelajar menimba lebih banyak ilmu dan meningkatkan hasil dari misi negara melahirkan pelajar kreatif dan inovatif.
Jadi di mana bahayanya?
Pada 18 April 2017 lalu, empat pelajar perempuan yang menjalani hukuman juvana di sekolah pemulihan akhlak Tunas Bakti, Sungai Lereh, di Melaka telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan memasukkan botol pewangi ketiak ke dalam kemaluan pelajar lain.
Tertuduh masing-masing berusia 18 dan 19 tahun.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama didakwa melakukan hubungan seks dengan cara memasukkan objek iaitu sebotol pewangi ketiak ke dalam kemaluan remaja perempuan berusia 16 tahun pada 5 petang di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Tanjung Kling, 9 April 2017 lalu.
Pada hari sama di Kuala Lumpur satu kenyataan dibuat kementerian pendidikan bahawa golongan pelajar di negara ini berkemungkinan dibenarkan membawa alat peranti ke sekolah untuk tujuan pembelajaran.
Bagaimanapun cadangan itu masih di peringkat awal dan memerlukan kajian terperinci sebelum dilaksanakan.
Fokusnya adalah sebagai alat pembelajaran dan alat bantuan pengajaran kepada golongan guru.
Apa kaitannya?
Berdasarkan pemerhatian penulis empat pelajar terbabit sebelum menjalani hukuman juvana terlebih dahulu bersekolah di sekolah harian biasa dan mendapat akses kepada kemudahan jalur lebar.
Golongan dewasa pasti tidak menolak bahawa tayangan-tayangan video, cerita pendek, perkongsian kisah berkaitan seks begitu mudah diakses walaupun hanya berdurasi 3 saat (Gif File).
Secara tidak langsung, kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan sememangnya akan turut terdedah kepada virus khayalan alam maya.
Golongan itu kini telah terdedah dengan mudah budaya-budaya yang ada di atas talian sehingga yang menjurus kepada perlakuan golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) tanpa perlu dinyatakan secara terperinci perilaku golongan itu yang ditiru pelajar sekolah dan kanak-kanak.
Perlakuan yang dibuat keempat-empat pelajar di Melaka itu tidak jauh berbeza dengan yang terdapat di media sosial pada hari ini dan pastinya pengaruh rakan sebaya atau tradisi turun temurun pelajar senior tidak lagi boleh dijadikan alasan.
Mungkin sudah terlambat bagi ibu bapa memantau perkara ini buat masa ini, namun masih belum terlambat bagi pihak telekomunikasi dan keselamatan berkaitan jalur lebar memikirkan sesuatu seperti yang dilakukan negara Asia lain dalam soal peyebaran maklumat bertulis atau visual.
Soalnya, ketika ini bukan tentang keselamatan pelajar yang boleh dinilai dengan mata kasar tetapi siapa yang mampu memantau aktiviti mereka di alam maya dengan kecanggihan peranti masa kini?
Mengulas cadangan kementerian terbabit berhubung kebenaran membawa peranti komunikasi ke sekolah, penulis merasakan masih banyak isu dan perkara besar lain yang boleh dipanjangkan di masa hadapan selain soal peranti.
Mungkin telah cukup buat masa ini yang menyediakan perhidmatan kelas IT namun harus diingat di luar pagar sekolah ada "jerung jalur lebar" yang menanti anak-anak bangsa ini dengan pelbagai tawaran.
Penulis acap kali melihat pelajar sekolah yang tidak mempunyai peranti sendiri mengunjungi pusat cafe siber yang melayani karenah pelajar-pelajar ini sehingga lewat pagi.
Kesimpulannya, strategi lautan biru adalah langkah berkesan merealisasikan apa sahaja pelan pendidikan negara tanpa perlu menggadai modal insan dan nilai budaya masyarakat bertamadun di negara ini jika iktibar pelajar di Melaka itu ingin dijadikan contoh.
Berhubung aktiviti di asrama sekolah juvana pula, penulis seringkali terfikir bukankah ia isu lapuk dan sepatutnya telah lama ditambah pegawai warden dan guru psikologi untuk melihat halus perkara di sebalik nama "asrama" itu.

* Syah Hairizal Kamalul Arifin ialah wartawan Astro AWANI yang sentiasa memantau tentang isu semasa dalam negara.
** Kandungan artikel ini adalah pandangan peribadi mengikut pemerhatian penulis, dan tidak semestinya mewakili lidah pengarang Astro AWANI.
#Kementerian Pendidikan #media sosial #peranti #sekolah
;