Perangkap nyamuk solar dipasang di kawasan rekreasi, PPR
Bernama
September 4, 2016 07:08 MYT
September 4, 2016 07:08 MYT
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mewajibkan pemasangan perangkap nyamuk solar bagi setiap projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu dan projek menaik
taraf kawasan rekreasi di bawah selenggaraan kementerian.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata cadangan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu merupakan antara langkah mengurangkan kes demam denggi dan mencegah penularan virus Zika di negara ini.
"Pemasangan perangkap nyamuk solar ini akan diletakkan sebagai satu aspek yang wajib dipasang oleh setiap kontraktor yang menaik taraf kawasan rekreasi dan yang membina PPR baharu.
"Ia banyak digunakan di luar negara terutama Hong Kong, ia boleh berfungsi tanpa tenaga elektrik kerana menggunakan tenaga solar yang boleh diletakkan di atas padang dan taman perumahan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya, di sini pada Ahad.
Katanya jumlah unit perangkap nyamuk solar dan saiz yang bakal dipasang bergantung kepada keluasan sesebuah kawasan.
Pada Khamis, Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus itu, selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos.
Pada Sabtu, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes virus Zika tempatan pertama seorang lelaki berusia 61 tahun dari Likas, yang menjadikannya kes virus itu di negara ini. Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung yang dialaminya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noh berkata kementerian akan mengeluarkan pelan induk yang memfokuskan kesejahteraan masyarakat bandar terutama golongan B40 yang menghadapi masalah kos sara hidup yang tinggi.
"Pelan induk ini memberi pembelaan kepada rakyat miskin bandar, bukan sahaja dari segi perumahan tetapi dari segi bagaimana mereka boleh menambah hasil pendapatan bagi menampung kos hidup dan kemudahan apa yang mereka perlukan, seperti kemudahan bas sekolah untuk anak-anak dan sebagainya," katanya.