Perangi rasuah, hentikan budaya minta komisen - MB Negeri Sembilan
Bernama
Februari 24, 2025 20:00 MYT
Februari 24, 2025 20:00 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tindakan sangat keras akan dikenakan kepada mana-mana mereka yang terlibat. - Foto Facebook Aminuddin Harun
TAMPIN: Penjawat awam di Negeri Sembilan diingatkan tidak berkompromi dengan mana-mana salah laku integriti selain perlu menghentikan budaya meminta komisen yang menggunakan alasan tabung kebajikan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tindakan sangat keras akan dikenakan kepada mana-mana mereka yang terlibat.
"Mungkin ada sebahagian (penjawat awam) yang sudah biasa dengan amalan-amalan terdahulu. Cukup dan hentikan, saya memberikan kuasa penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat laporan dan kes.
"Budaya meminta komisen atas alasan tabung kebajikan atau tuntutan palsu sesuatu peruntukan daripada pembekal wajib dihentikan," katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Pentabiran Kerajaan Daerah Tampin 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata nilai 'Qawam' juga menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan negeri pada tahun ini iaitu memastikan setiap tindakan adalah berlandaskan etika, bersifat keadilan, kesaksamaan, keseimbangan dan tidak melampaui batas perlu diterapkan dalam organisasi.
Sementara itu, Aminuddin turut memuji tindakan pantas dan teratur agensi serta penguat kuasa di daerah ini yang komited dalam operasi memindahkan 2,233 mangsa banjir ke 13 pusat pemindahan sementara pada Disember lepas.
Beliau berkata kerajaan juga mengagihkan sebanyak RM1.002 juta menerusi Bantuan Wang Ihsan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Pengalaman banjir juga menunjukkan satu contoh yang baik iaitu kerjasama antara semua agensi yang mampu melaksanakan tanggungjawab bersungguh-sungguh dalam membantu mangsa banjir.
"Kita sedia maklum isu banjir kini tidak mengikut monsun, hal ini mengajar kita supaya sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa supaya dapat membuat persediaan lebih awal," katanya.
-- BERNAMA