Perangi dadah: Tindakan tegas berdepan pegawai sabotaj operasi
Harits Asyraf Hasnan
November 6, 2019 12:02 MYT
November 6, 2019 12:02 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui wujud elemen sabotaj dalam beberapa operasi yang dijalankan pihaknya ketika membanteras gejala penagihan dan sindiket dadah.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Azis Jamman menegaskan, beberapa prosedur operasi standard (SOP) dipinda dalam menangani isu integriti tersebut.
“Benar, memang ada masalah kebocoran maklumat, ada elemen sabotaj pegawai dalaman membocorkan maklumat.
“Namun, ia masih dalam kawalan, sebab itu kita ubah sedikit dari segi pelaksaan operasi di mana tempat operasi tidak akan dimaklumkan sehingga operasi dijalankan.
“Ini melibatkan isu integriti dan kita mengambil serius di mana kalau ada yang terlibat, tindakan tegas akan kita ambil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanyakan sama ada kebocoran maklumat menjadi punca kegagalan operasi membanteras akviti penagihan dan sindiket dadah.
Menjawab soalan asal berkaitan fungsi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) oleh Su Keong Siong (PH-Kampar), Azis berkata, menerusi dasar baharu, pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan.
Ia termasuk memperkasakan hala tuju AADK dalam mewujudkan negara dan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah.
Pada tahun 2020, peruntukan belanja mengurus AADK juga telah meningkat sebanyak 15 peratus berbanding tahun ini.