Perangi COVID-19, ketepikan politik sempit - Hajiji
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 23, 2020 14:28 MYT
Disember 23, 2020 14:28 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor meminta seluruh rakyat di Sabah untuk terus bersatu dan kekal teguh bersama dalam memerangi COVID-19 di negeri ini.
"Kita amat berbesar hati dan berazam menyatakan sokongan kepada kerajaan yang ada serta bersama menongkah arus cabaran dan terus maju dengan keperihatinan kita jaga kita.
“Oleh itu marilah kita bersatu memerangi penularan COVID-19 dengan menjaga diri, keluarga, masyarakat dan mematuhi sepenuhnya semua langkah keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita perlu mengetepikan perbezaan yang ada, bangkit daripada politik sempit dan bersatu dalam usaha meningkatkan ekonomi serta membangunkan semula beberapa sektor yang kritikal akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam Perutusan Krismas dan Tahun Baharu 2021 pada Rabu.
Mengenai perayaan Krismas yang diraikan ketika pandemik COVID-19, beliau berkata rakyat Malaysia dari pelbagai agama telah meraikan perayaan mereka dengan meriah ketika penularan pandemik ini dan beliau percaya masyarakat Kristian di Sabah juga akan meraikan sambutan Krismas dengan semangat yang sama.
Hajiji juga meminta rakyat untuk merenung sejenak persamaan yang selama ini menyatukan, kekal fokus membina semangat harmoni dan persefahaman antara kaum serta agama di Sabah, tanpa mengira perbezaan kepercayaan dan latar belakang
“Marilah kita terus mengekalkan rasa hormat, kestabilan dan harmoni yang dibina oleh nenek moyang kita dan seterusnya untuk generasi akan datang. Inilah laluan ke arah perpaduan dalam kepelbagaian yang kita jalani selama ini.
“Selamat Hari Krismas kepada rakan-rakan kita khususnya masyarakat Kristian yang meraikan perayaan ini dan Selamat Tahun Baharu kepada semua. Semoga musim perayaan ini akan membawa kedamaian, kemakmuran, semangat muhibbah dan kegembiraan kepada kita," katanya.