KUCHING:Perjuangan melawan pandemik COVID-19 di negeri ini memerlukan kerjasama dan sokongan tanpa berbelah bagi daripada semua pihak, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Uggah yang juga Ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berkata penyebaran penyakit itu dapat dikawal jika semua orang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya keadaan itu terbukti apabila Sarawak berjaya merekodkan kes sifar atau satu digit setiap hari selama beberapa bulan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan jumlah kes kembali meningkat.

"Sejak rakyat kembali dari negeri itu (selepas PRN), kes kembali meningkat dan kira-kira 60 peratus kes baharu direkodkan adalah kes diimport," katanya ketika merasmikan program Sepakat@Komuniti Jabatan Penerangan di Rh Lidi Busok, Ulu Babu, Betong, kira-kira 200 kilometer dari sini.

Program itu yang merupakan inisiatif berterusan kerajaan di negeri ini memberi fokus kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan untuk mereka terus bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menghalang virus tersebut daripada terus merebak.

Uggah berkata semua pemimpin masyarakat di luar bandar harus memainkan peranan mereka seperti sentiasa memperingatkan penduduk kampung dan rumah panjang agar mengikuti semua SOP, terutama penjarakan fizikal, mengelak perhimpunan ramai dan kerap membasuh tangan.

"Antara tindakan positif diambil yang saya dengar, ada antara mereka tidak mengalu-alukan orang luar atau pelawat melawat kampung atau rumah panjang," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa SDMC akan terus memantau situasi COVID-19 dengan teliti dan kerajaan negeri mempunyai program penguatkuasaan serta dana yang mencukupi untuk menangani masalah tersebut.

-- BERNAMA