Perang dunia ketiga bakal tercetus jika Ukraine sertai NATO - Tun M
Hafizi Rosli
Jun 29, 2022 11:30 MYT
Jun 29, 2022 11:30 MYT
SEKIRANYA Ukraine diterima sebagai ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serangan oleh Rusia akan mengakibatkan peperangan dengan semua negara anggota pertubuhan itu.
Jelas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ini bermakna, perang di antara NATO dan Rusia akan meningkat dan berupaya menjadi perang dunia ketiga dengan kemungkinan penggunaan senjata nuklear.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ahli Parlimen Langkawi itu juga turut menjelaskan, salah satu perjanjian antara negara-negara NATO adalah bahawa serangan terhadap satu akan dianggap sebagai serangan terhadap semua negara anggota.
Dr Mahathir juga memaklumkan, tentera Rusia semakin melemah selepas perpecahan Kesatuan Soviet dan NATO menganggap ia sebagai satu anugerah.
Ia tidak menjejaskan negara-negara NATO untuk melibatkan lebih banyak lagi negara terutama negara penyangga (buffer state), antaranya dengan sekutu NATO di Eropah yang telah jelas ditubuhkan untuk membendung pengaruh Rusia.
Dalam hal ini, tambah Dr Mahathir, Rusia tidak mungkin akan mengaku kalah dan begitu juga dengan NATO.
Situasi ini juga, jelasnya, boleh memusnahkan dunia.