Perang dagangan, tarif, sekatan jadi senjata dominasi global - PM Anwar
Bernama
Mac 14, 2025 05:30 MYT
Mac 14, 2025 05:30 MYT
ANWAR: Berikutan Order Baru Dunia yang sedang terbentuk, kita juga harus sedar cabaran yang semakin meningkat yang dihadapi negara-negara di seluruh Global South. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perang perdagangan, tarif dan sekatan telah berubah daripada sebagai alatan ekonomi kepada senjata dalam perjuangan yang lebih luas untuk mendominasi, memupuk sentimen curiga dan tidak percaya yang menjejaskan asas kerjasama antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata negara-negara yang selama ini melihat negara lain sebagai rakan atau pesaing dalam pasaran global pada masa ini hanya menyaksikan mereka sebagai lawan atau proksi dalam persaingan pengaruh dan dominasi global.
Ketika persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengganggu ekonomi, teknologi, dan perikatan di seluruh dunia, negara-negara kecil dan sederhana seringkali terpaksa memilih sesuatu pihak atau berisiko menjadi alat dalam permainan geopolitik yang lebih besar, kata beliau.
"Berikutan Order Baru Dunia yang sedang terbentuk, kita juga harus sedar cabaran yang semakin meningkat yang dihadapi negara-negara di seluruh Global South.
"Banyak mekanisme yang pernah mendorong perkembangan mereka semakin lemah manakala konsep bantuan pembangunan semakin mendapat perhatian yang tinggi daripada beberapa negara paling berkuasa di dunia.
"Kebergantungan ekonomi, yang suatu ketika dahulu menjadi asas kemakmuran global, kini telah menjadi sumber ketegangan.
"Sekiranya trend ini berterusan, kesalinghubungan ini akhirnya menjadi rentan, malah kepada negara yang telah lama berkembang maju menerusi globalisasi," kata Anwar dalam komentar bertajuk "The Global South Path's to Economic Resilience" yang diterbitkan di laman web Project Syndicate semalam.
-- BERNAMA