Perang dagang AS-China, Malaysia tidak perlu bimbang
Madiha Abdullah
September 11, 2024 21:55 MYT
September 11, 2024 21:55 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu bimbang tentang persaingan dagang antara China dan Amerika Syarikat (AS) kerana kedudukan sebagai antara negara pengeluar cip terbesar memberi kelebihan kepada negara.
Profesor di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia, Sunway University, Prof Dr Shakila Yacob berkata, siapa pun menang dalam pemilihan presiden AS, Malaysia mempunyai kelebihan dan perlu bijak menggunakan kelebihan daya saing di rantau Asia Pasifik.
“Pulau Pinang terus jadi tumpuan pelabur China dan AS. Kita tak boleh lupa hubungan dagang dengan AS; siapa yang melabur di Pulau Pinang, siapa yang menjadikan Pulau Pinang pengeluar terbesar cip kalau bukan AS.
“Walaupun kita ada kepentingan dengan China, dari segi lain kita juga ada kepentingan dengan AS dari segi pelaburan semi konduktor dan pelaburan teknologi.
“Masa depan kita ialah pelaburan teknologi,” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI, pada Rabu.
Beliau mengulas berkenaan debat pertama antara dua calon Presiden AS, Donald Trump dari Republikan dan Kamala Harris mewakili Demokrat.
Sementara itu, menyentuh isu Palestin, Dr Shakila berpendapat, baik Trump atau Harris, kedua-duanya bukanlah harapan untuk membawa kepada tamatnya perang.
Jelasnya, ini terbukti berdasarkan sejarah perdamaian yang cuba diperjuangkan mereka sebelum ini tidak dapat dicapai kerana AS sudah hilang kredibiliti.
“AS tiada lagi kredibiliti untuk menjadi orang tengah disebabkan penjualan senjata berleluasa dan dasar yang jelas amat berpihak kepada Israel.
“Bagaimana mereka nak perjuang kepentingan Palestin? Akhirnya semua adalah untuk kepentingan sendiri dan sekutu mereka Israel,”katanya.
Katanya lagi, beliau lebih cenderung ke arah dasar luar Trump yang mahu mengajak pemimpin berunding atas alasan kepentingan diplomasi, manakala Harris pula dilihat kurang berpengalaman dalam aspek tersebut.