Perancis anggap Malaysia rakan utama di Asia Tenggara
Bernama
November 26, 2021 16:26 MYT
November 26, 2021 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Perancis mahu mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia dan menganggap negara itu sebagai rakan utamanya di rantau Asia Tenggara, kata Pengarah Asia dan Oceania, Kementerian Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis, M. Bertrand Lortholary.
Beliau yang sedang dalam rangka lawatan kerja di rantau ini, berkata banyak interaksi di peringkat tinggi membabitkan kedua-dua pihak, termasuk dalam bidang peralatan ketenteraan, yang menjadi asas penting dalam memacu hubungan kedua-dua negara.
"Kami melihat persahabatan dengan Malaysia sebagai hubungan rakan kongsi yang erat dan telah terjalin selama beberapa dekad," katanya ketika melawat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini, Khamis.
Beliau yang diiringi Duta Perancis ke Malaysia Roland Galharague turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Lortholary berkata kerjasama dengan Malaysia dan negara anggota ASEAN lain akan terus diperkasa di bawah kerjasama ASEAN-Perancis yang akan merintis laluan kepada kesepakatan lebih kukuh.
Melalui perkongsian itu, Lortholary berkata Perancis akan terus bekerjasama dengan ASEAN dalam projek dan program pembangunan yang saling menguntungkan, dipacu oleh Agensi Pembangunan Perancis (AFD).
"Kami akan mula melaksanakan program di peringkat serantau dengan ASEAN. Setakat ini kami telah melaksana program berkaitan isu kesihatan dan pencegahan penyakit berjangkit
"Kini, kami sedang laksana kerja-kerja berkaitan isu pencemaran udara di peringkat serantau. Lebih banyak kerjasama akan dibuat selepas ini," katanya.
Sementara itu, Galharague berkata Perancis dan Malaysia telah menjalankan pelbagai program antarannya berkaitan sektor kesihatan, termasuk latihan untuk saintis Malaysia dalam bidang penjujukan genomik untuk memerangi pandemik COVID-19.
""Kami juga merancang untuk bekerjasama dalam bidang penularan penyakit haiwan kepada manusia.
"Satu lagi projek akan dilancarkan tidak lama lagi di Sabah berkaitan perhutanan lestari kerana kita tahu bahawa pemuliharaan kelapa sawit adalah penting kepada Malaysia dan kami ingin membantu memastikan ini dilakukan secara mampan," katanya.
Dalam aspek ekonomi, duta itu berkata Malaysia-Perancis telah menikmati kemajuan hubungan apabila lebih 300 syarikat Perancis kini beroperasi di Malaysia selain perdagangan yang kukuh.
Misi perdagangan dan pelaburan Malaysia ke Perancis bulan lepas, diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berjaya menjana pelaburan berpotensi berjumlah RM2.6 bilion dan eksport bernilai RM300 juta.
-- BERNAMA