Perancang majlis tidak kekok beralih bidang, bersemangat usahakan ladang sawit sepanjang PKP
Lynch Cowan
Mei 16, 2020 16:31 MYT
Mei 16, 2020 16:31 MYT
Ramai peniaga atau pengusaha perkhidmatan yang berdepan situasi getir sejak Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) dikuat kuasa 18 Mac lepas.
Ada yang terpaksa gulung tikar, tidak kurang juga yang mampu bertahan sama ada kerana faktor kewangan yang kukuh atau kerana ada alternatif lain bagi menjana pendapatan.
Bagi pemilik syarikat perancang majlis, PicInsight Sdn Bhd Sabel Valentine Labang, 37, tempoh PKP bukan pengakhiran buatnya untuk terus mencari sumber pendapatan.
Anak jati Sibu, Sarawak ini bernasib baik kerana keluarganya ada ladang sawit di Nanga Stapang, Selangau, di sini.
Jelasnya, berdepan cabaran sepanjang tempoh PKP menyebabkan dia nekad untuk kembali ke kampung halaman.
“Pada saat itulah saya memutuskan untuk terus berada di sini bersama adik-beradik yang lain kerana perniagaan saya masih tidak dapat dijalankan seperti sebelumnya,” katanya.
Bersama ahli keluarganya yang lain dan dua pekerja, mereka mengusahakan ladang sawit seluas empat hektar.
Bagi bapanya, Valentine Labang Ngalih, dia sentiasa mengalu-alukan kedatangan anak-anaknya untuk bersama di kampung bagi mengusahakan ladang sawit tersebut.
"Kerja menjadi lebih mudah dengan adanya bantuan anak-anak.
"Walaupun hasil tuaian tidak seberapa tapi apabila melihat kerjasama daripada anak-anak yang membanting tulang, sudah membuatkan saya senang hati," ujarnya.
Namun, usaha itu bukan mudah memandangkan peraturan menghadkan jumlah pekerja di ladang selain ada pekerja yang sudah kembali ke negara asal.
Namun bagi Valentine dan keluarganya, daripada terbiar, adalah lebih baik mereka memerah keringat sendiri mengusahakan ladang berkenaan demi menjana pendapatan tanpa perlu merintih meminta-minta.