Perancah besi runtuh: Prasarana mahu siasatan menyeluruh dijalankan
Nickyson Nyambar
Julai 29, 2021 21:47 MYT
Julai 29, 2021 21:47 MYT
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mahu siasatan secara menyeluruh dijalankan berhubung dengan insiden runtuhan perancah besi di struktur pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang hari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis itu, Prasarana telahpun mengarahkan kontraktornya, MRCB George Kent Sdn Bhd untuk melaksanakan perkara berkenaan dengan menyediakan laporan terperinci dan langkah-langkah untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
"Kami tegas bahawa aspek keselamatan adalah perkara paling penting dan memerlukan perhatian serta komitmen dari semua pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan di tempat kerja terus dijaga dan pihak kami akan mematuhi peraturan keselamatan pada setiap masa.
"Prasarana akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk melancarkan siasatan tersendiri mengenai perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan," ujar Prasarana dalam kenyataan sama.
Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan kekesalan buat pihak yang terlibat dan takziah buat keluarga individu yang kehilangan nyawa akibat kejadian itu.
"Kami mendoakan mereka yang cedera akan sembuh secepatnya dan akan memastikan kebajikan mereka dan keluarga diberi keutamaan ketika ini," katanya.
Terdahulu, seorang pekerja pembinaan warga Bangladesh maut tertimbus dalam insiden runtuhan perancah besi struktur pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.41 petang, pada Khamis.
Mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan pada 4.20 petang namun disahkan telah meninggal dunia.
#Runtuhan perancah besi
#prasarana
#Transit Aliran Ringan 3
#bandar bukit tinggi
#LRT3
#Klang
#warga Bangladesh