Peranan wanita perlu benar-benar difahami, oleh lelaki dan wanita itu sendiri

Israr Khalid
Mac 9, 2021 20:11 MYT
Untuk selesaikan masalah yang membelenggu wanita, berikan upaya dan kuasa kepada wanita untuk melaksanakannya. Tetamu jemputan berkongsi pandangan mereka dalam program khas sempena Hari Wanita Sedunia 2021 di Astro AWANI.
SEJAK sekian lama wanita menurut apa yang ditentukan oleh masyarakatnya. Harus tahu memasak, mengemas rumah dan menjahit, antara ‘keperluan wajib’ untuk menjadi seorang perempuan.
Sedangkan wanita itu bermacam upayanya, malah ada bahagian yang lebih unggul daripada lelaki. Namun sayangnya hidup mereka selalu akur kepada kehendak norma masyarakat yang meletakkan mereka sekadar berupaya di ruang lingkup rumahnya.
Entah di mana silapnya sepanjang peradaban manusia, kita menjadi biasa melihat wanita perlu di belakang lelaki langkahnya, dan budaya tradisi temurun yang entah siapa kita ikut, seperti ini, perlu ditinggalkan.
“Dulu masa saya di sekolah pernah dengar orang kata 'buat apa (perempuan) belajar tinggi-tinggi, nanti masuk dapur juga'.
“Walaupun sekadar perbualan, ia memberi impak kepada wanita kerana siling kaca telah terbina. Kita tak nampak tapi ia ada dan menghalang perkembangan wanita,” kata ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.
Secara amnya, peranan sebenar wanita dalam segenap aspek kehidupan masih belum benar-benar difahami, baik oleh kaum lelaki mahupun wanita itu sendiri.
Ada yang melihat sudah tiba masa wanita bangkit untuk membuktikan bahawa dunia akan lebih baik tanpa lelaki, dan lelaki pula berasakan kedudukan mereka terancam apabila wanita bersuara, lebih buruk apabila melihat wanita itu makhluk lemah yang terhad upayanya.
Tidak sama sekali. Kerana wanita dan lelaki itu sebenarnya harus bergandingan antara satu sama lain, dan kedua-duanya saling memerlukan.
“Saya suka melihat peranan wanita itu sebagai melengkapkan peranan lelaki, dan sebaliknya. Bukan untuk bersaing dengan lelaki. Ini yang perlu kita ubah.
“Wanita walaupun memang menggalas tanggungjawab mengurus keluarga, mereka juga mampu menyumbang untuk membangunkan negara sama berganding bahu dengan orang lelaki,” jelas ADUN Lembah Jaya, Haniza Talha.
Beliau melihat apabila peranan wanita benar-benar difahami oleh semua, maka kepemimpinan yang lazimnya didominasi lelaki akan lebih terbuka untuk menerima wanita untuk membuat keputusan-keputusan penting.
Agenda AWANI: Dialog Hari Wanita Sedunia
Untuk membentuk budaya segar di pentas Parlimen, segalanya perlu bermula di rumah. Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeo percaya, dalam hal ini menjadi tanggungjawab besar lelaki untuk memupuk budaya memartabat wanita bermula dengan peranannya sebagai suami dan bapa dalam keluarga.
“Setiap orang dalam masyarakat memainkan peranan penting untuk atasi masalah dan cabaran yang dihadapi wanita.
“Lelaki perlu mendidik anak mereka tentang apa yang kita kata budaya yang dapat memperkuat dan memperkasa wanita, mesti bermula dalam keluarga sendiri,” katanya.
Umum mengetahui wanita memang lebih ‘multi-tasking’ berbanding lelaki. Bagaimanapun wanita dibiarkan terus menggalas pelbagai tanggungjawab tanpa dipeduli keadaan mereka, sehingga tanggungjawab itu terus menekan dan akhirnya memusnahkan mereka.
Apabila dilihat tidak mampu, maka mereka diminta duduk di rumah untuk menumpukan pengurusan keluarga, dan mereka akur kerana itu kebiasaannya dalam budaya kita. Sedangkan mereka juga punya impian dan cita-cita untuk melihat diri sendiri atau dunia berubah dengan tangan mereka sendiri.
Wanita memang kuat, tetapi mereka memerlukan sistem sokongan untuk membolehkan mereka kekal waras. Dalam institusi pekerjaan baik dalam struktur masyarakat, harus ada ekosistem yang memudahcarakan pengurusan kehidupan seseorang wanita.
“Untuk menguruskan keluarga adalah mahal. Dan kerana ini keupayaan wanita jadi terhad. Saya melihat kawan-kawan saya yang kurang bernasib baik terkejar-kejar menghantar anak ke pengasuh, masuk kerja lambat dan produktiviti terjejas.
“Maka kami di SIRIM dahulu membuat kertas kerja. Sekarang sudah ada ‘nursery’ dalam bangunan dan ia sangat banyak membantu. Tak perlu lagi para ibu risau kerana anak mereka berada tidak jauh dengan mereka dalam jagaan yang selamat,” cerita Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Nor'Afiza Saim.
Saban tahun apabila tiba sambutan Hari Wanita Sedunia, terlalu banyak perihal tentang wanita yang terungkap juga yang tak sempat diungkapkan. Pendek kata, hanya wanita yang tahu masalah wanita, maka berikan mereka kuasa dan upaya untuk menyelesaikannya.
Sesungguhnya wanita adalah makhluk ciptaan Tuhan yang kompleks, misterius dan mempesonakan. Tiada lelaki yang dapat benar-benar memahami wanita, maka benarkan mereka untuk melakar masa depan mereka sendiri dan bersama mencorak dunia dengan cita dan cinta.
#Agenda Awani #hari wanita sedunia #wanita #perempuan
;