Peranan wanita dalam pendidikan tidak boleh dipandang enteng - Raja Puan Muda Perlis
Bernama
Februari 24, 2022 11:22 MYT
Februari 24, 2022 11:22 MYT
KANGR: Peranan wanita dalam pendidikan tidak boleh dipandang enteng kerana menurut Islam wanita ialah 'sekolah pertama' kepada anaknya, titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah justeru, sesebuah negara yang ingin maju dalam pelbagai aspek perlu memperkasakan pendidikan terhadap wanita.
"Wanita berpendidikan dilihat sebagai satu bahagian yang dapat menyempurnakan usaha terhadap pembangunan negara.
"Dengan mengambil kira perubahan persekitaran dunia dan keperluan negara untuk turut sama bersaing dalam arus globalisasi ini, pelbagai usaha perlu diambil bagi melengkapkan wanita dengan pendidikan serta penerapan kemahiran dan pengetahuan tinggi supaya wanita Malaysia dapat memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga mahupun kerjaya," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) hari ini.
Tuanku Lailatul Shahreen Akashah yang juga Pengerusi YTF bertitah demikian ketika berkenan merasmikan penutupan webinar 'Women in Search of Excellence' (WISE) Siri Ke-6 bertemakan 'Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan' anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama YTF semalam.
Baginda bertitah pemikiran yang bercorak kejantinaan atau seksisme dan stereotaip terhadap kebolehan wanita dalam hak pendidikan harus dikikis.
Titah baginda, dunia hari ini menyaksikan wanita telah berjaya membuktikan tahap kebijaksanaan mereka bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah dalam bidang ekonomi, politik dan pelbagai cabang bidang diceburi.
"Wanita memiliki hak dalam pendidikan. Peluang pendidikan wajib diberikan kepada semua rakyat, lelaki mahupun wanita supaya dapat mengembangkan lagi potensi individu dan turut berpeluang dalam menyumbangkan peranan mereka sebagai rakyat yang produktif dan berakhlak mulia," titah baginda.
-- BERNAMA