Peranan sains, teknologi bagi mengelak konflik, keganasan dunia - Sultan Nazrin
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 15, 2016 14:29 MYT
Ogos 15, 2016 14:29 MYT
Sains dan teknologi berperanan penting dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan antara masyarakat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah permasalahan itu perlu ditangani lantaran ia boleh menyebabkan konflik dan keganasan dunia.
Titah baginda, menerusi teknologi baharu, ia mampu menghentikan kemusnahan alam sekitar, mengurangkan atau menghapuskan penyakit, serta menyumbang kepada peningkatan tahap pembangunan manusia merentasi pelbagai komponen.
“Sumber-sumber tenaga diperbaharui seperti tenaga suria, contohnya mampu mengubah kehidupan miskin bandar dan pedalaman sekiranya dapat dilaksanakan secara efektif.
“Aplikasi-aplikasi inovatif pintar terutama dalam mekanisme pembayaran pula dapat memberi impak yang sangat positif,” titah baginda sewaktu merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Untuk Keamanan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin juga mahu inovasi sains dan teknologi diuruskan dengan baik untuk mengelakkan ia disalahgunakan sebagai medium menggalakkan keganasan.
"Inovasi sains dan teknologi merentasi spektrum terutama berhadapan cabaran yang dialami pada ketika ini. Bagaimanapun, potensi itu dikekang oleh realiti politik dan ekonomi semasa.
"Ia boleh disalahgunakan untuk menggalakkan keganasan berbanding keamanan. Jika pembangunan saintifik dan teknologi bertujuan untuk mengalakkan keamanan dan pembangunan, jadi ia perlu diuruskan secara efektif," titah baginda.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah 'Top Research Scientist Malaysia' kepada 10 pencetus inovasi di negara ini.
Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.