Peranan media tidak perlu berubah, terus sampaikan maklumat benar - Editor Jakarta Post
Hasimi Muhamad
Jun 15, 2022 18:12 MYT
Jun 15, 2022 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Peranan media sebagai penyampai maklumat yang benar dan berguna kepada masyarakat tidak boleh sesekali berubah walaupun berdepan asakan ketidakpercayaan, ledakan media sosial serta pengaruh pemerintah.
Ketua Editor Jakarta Post, Taufiq Rahman berpandangan laporan yang dikeluarkan oleh Reuters Institute dan University of Oxford, membuktikan media yang bersifat bebas masih mendapat kepercayaan dalam kalangan masyarakat.
Jelas beliau, institusi media berdepan krisis kepercayaan sebelum COVID-19 melanda dunia lagi, dan masyarakat dilihat semakin 'lelah' terhadap pemberitaan selepas pandemik itu berpanjangan sejak dua tahun lalu.
"Saya fikir kita semua sudah sepakat dan faham bahawa apa yang ada diberitakan di media sosial melalui maklumat yang tidak tepat, kita mendapat banyak bukti ia memberikan akibat yang negatif.
"Sebagai contoh Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 2016 dan kemudian Brexit dan ada beberapa pemerintah di negara berkembang yang menggunakan sosial media untuk mengawal masyarakat atau memberi maklumat tidak tepat.
"Saya fikir, sistem demokrasi seperti Indonesia, Malaysia, atau Filipina, media 'berperang' untuk mengawal maklumat yang tidak tepat dan saya fikir tidak perlu ada yang berubah dari apa yang media perlu lakukan selain memceritakan soal kebenaran, dan informasi berguna untuk masyarakat dalam menghadapi masalah yang sedang dihadapi, baik COVID-19 atau politik yang ada di negara itu," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Terdahulu, laporan Berita Digital Institut Reuters 2022 dan University of Oxford mendedahkan Astro AWANI menduduki tangga pertama sebagai jenama berita paling dipercayai di negara ini, dengan 64 peratus.
Ia diikuti The Star, MalaysiaKini, Sinar Harian, dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dalam pada itu, laporan itu menyebut, pemilikan atau kaitan parti politik dengan media akan mengakibatkan masyarakat mengelakkan diri dari mengakses berita.
Mengulas lanjut, Taufiq berkata usaha untuk memperjuangkan kebebasan media dengan tidak terikat kepada pengaruh politik juga mampu memberi peluang kepada masyarakat untuk menyampaikan kritikan.
Memberi contoh peranan media di Indonesia, beliau berkata institusi kewartawanan di republik itu berjaya melindungi sistem demokrasi apabila menolak usul agar jawatan Presiden dilanjutkan kepada tiga kali, berbanding dua kali mengikut demokrasi Indonesia.
"Prinsip demokrasi di Indonesia adalah presiden itu adalah dua kali, maka media di Indonesia sepakat bahawa ini adalah upaya mempertahankan demokrasi. Kemudian saya fikir itu berhasil kita lakukan, dan (usul itu) hilang tidak lagi dibahaskan dan sepertinya kita akan tetap menghadapi Pemilu (Pemilihan Umum) pada 2024.
"Saya rasa itu adalah pencapaian, atau contoh positif daripada kehebatan media menghasilkan kesan baik untuk melindungi peranan demokrasi yang ada di Indonesia," ujarnya lagi.