Peranan media perdana amat penting dalam banteras berita palsu semasa pandemik COVID-19
Rahimah Abdullah
Mei 29, 2022 14:03 MYT
Mei 29, 2022 14:03 MYT
KUALA LUMPUR : Media perdana dilihat memainkan peranan amat penting dalam membanteras berita palsu sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Penganalisis Politik dan Media Sosial, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Sara Chinnasamy berkata, keberkesanan usaha berkenaan memastikan kepercayaan rakyat terhadap media perdana atau media tradisional meningkat.
"Kalau kita lihat sebelum ini platform media sosial memberi saingan kepada media perdana, namun hari ini media perdana juga ada banyak media sosial.
"Dari segi usaha mencantas berita palsu, keberkesanan media perdana meningkat ketika pandemik," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Beliau berpendapat, media sosial perlu dijadikan sebagai platform yang menyebarkan berita yang sahih.
"Kepercayaan kepada media perdana meningkat 80 peratus. Kita akan dapat mencantas berita palsu melalui media sosial media perdana ini. Keberkesanan media perdana mencantas berita palsu sangat efektif ketika tempoh pandemik," ujarnya.
Justeru, media sosial dikendalikan media perdana perlu menjadi rujukan orang ramai bagi memastikan kepelbagaian dan seberapa pantas maklumat itu dapat disalurkan.