Peranan media penting promosi budaya, pelancongan Malaysia
Bernama
Mac 12, 2024 09:50 MYT
Mac 12, 2024 09:50 MYT
PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus bekerjasama dengan media dalam mempromosikan pelancongan dan budaya negara ke persada antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata peranan media sangat penting dalam mempromosikan segala aktiviti daripada agensi di bawah MOTAC selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Tanpa sokongan pihak media mana mungkin setiap tindakan atau pelaksanaan sesuatu perkara yang dilakukan kementerian dapat disampaikan kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan 2024 di sini baru-baru ini.
Lebih 500 pengamal media daripada pelbagai agensi diraikan dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Pada majlis itu, Tiong dan Khairul Firdaus turut menyampaikan plak penghargaan kepada media termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Mohd Haikal Mohd Isa.
-- BERNAMA