Peranan masyarakat, NGO amat signifikan pertahan kedaulatan negara Islam
Ehsan A Marisah
September 28, 2022 13:58 MYT
September 28, 2022 13:58 MYT
KUALA LUMPUR: Palestin, Syria dan Yaman seumpama dipenjara dan tidak bebas seperti negara-negara Islam yang lain apabila rakyatnya dikepung, ditindas serta tidak diperlakukan seperti mereka berhak ke atas tanah sendiri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Iris Institute, Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim, lebih membimbangkan kini negara-negara Islam di sekeliling juga sebahagian besarnya sudah termakan ‘gula-gula’ musuh Islam, iaitu Israel apabila mereka menjalin kerjasama dan dijanjikan pelbagai kesenangan politik, ekonomi dan sosial.
“Paling terdekat adalah Perjanjian Normalisasi (Abraham Accords) yang ditandatangani oleh Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 15 September 2022 yang bersetuju menjalinkan hubungan diplomatik perdagangan di antara kedua-dua buah negara ini dengan negara haram, Israel.
“Sememangnya dengan kerjasama seperti ini bukan memberi impak kepada Palestin, tetapi kepada seluruh umat Islam yang mengharapkan negara-negara Islam dapat bersatu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, Syed Ahmad Israa’ menambah, peranan dimainkan semua pihak amat diperlukan untuk terus mempertahankan kedaulatan Palestin, Syria dan Yaman sekali gus mencapai erti kemerdekaan sebenar.
“Sememangnya peranan pihak kerajaan adalah besar dalam membantu pembebasan Palestin, tetapi tidak dilupakan peranan masyarakat dan umat Islam seluruh dunia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam melengkapkan perjuangan mempertahankan Palestin, Syria dan Yaman.
“Tidak terkecuali Aman Palestin yang menyahut seruan jihad membantu warga Palestin dalam mempertahankan masjid al-Aqsa dan keseluruhan Palestin.
“Aman Palestin adalah NGO yang sentiasa ke hadapan dalam membantu memberikan kebajikan buat warga Palestin yang amat memerlukan bantuan khususnya dalam mendapatkan bekalan makanan asas,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, bantuan yang disalurkan berkenaan sedikit sebanyak membantu para mujahidin (pejuang) di sana sekali gus meringankan beban mereka dalam mencari bekalan makanan, malah lebih fokus berjuang mempertahankan kedaulatan tanah air.
Sementara itu, beliau berkata, apalah erti sebuah kemerdekaan yang dikecapi hari ini sekiranya masih ada negara Islam yang belum merasai kebebasan dan kemerdekaan.
“Usaha menyemarakkan rasa kemerdekaan ini bukan sekadar kita tahu secara dasar tetapi ia memerlukan tindakan sama ada dalam bentuk sumbangan bantuan, perkongsian ilmu kepada orang lain mengenai Palestin dan pelbagai lagi tindakan yang membawa kepada perjuangan Palestin.
“Pada masa yang sama, kita ingin merasai kemerdekaan ini bukan sekadar untuk bebas daripada penjajah secara zahir, tetapi kita menginginkan kemerdekaan Malaysia dan Palestin ini adalah kebebasan daripada dijajah oleh budaya dan pemikiran barat yang sudah lama menapak di sini.
“Benar kita sudah merdeka, tetapi budaya, perilaku dan sifat masyarakat sudah disuntik dengan budaya Barat yang semakin hari semakin tidak bermanfaat dan tidak bermoral,” jelasnya lagi.
Justeru orang ramai yang ingin bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada Aman Palestin, boleh salurkan di www.jommenyumbang.com atau menghubungi 03-89267019 (pejabat) dan 013-6851019 (Ella).
*Artikel ini adalah hasil kerjasama bersama Aman Palestin.