Peranan bekas pengetua sekolah rendah dapat pengiktirafan antarabangsa, negara

Wanna Abd Rahim
Mei 16, 2022 23:32 MYT
Dua anugerah diberikan kepada warga pendidik atas jasanya yang membawa perubahan dan kecemerlangan.
BACHOK: Sempena sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan kali ke-51, dua anugerah diberikan kepada warga pendidik diatas jasanya yang membawa perubahan dan kecemerlangan.
Dua anugerah tersebut adalah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan yang diberikan kepada Roslan Yatim, 65, dan Datu Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah 71.
Roslan merupakan mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sena di Kampung Bakau, Kangar, Perlis telah dipilih menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2022 dan membawa pulang wang tunai RM40,000 serta pingat emas bernilai RM10,000.
Bercerita mengenai pengalamannya, beliau telah menjadi pengurus kualiti ISO 9000 bagi subjek Kajian Tempatan dan aktif menyampaikan ceramah dari tahun 1994 hingga 2016.
"Saya telah menjelajah ke seluruh negara, untuk menyampaikan kursus bagi kualiti ISO 9000 dan kursus kajian tempatan bagaimana nak melaksanakan pengajaran, menterjemahkan huraian sukatan pelajaran kajian tempatan dalam kelas.
"Hingga tahun 2000 saya berulang alik ke Thailand selama 4 bulan menyampaikan kursus kepada pegawai pendidikan di Thailand tentang pengurusan kualiti ISO 9000.
"Ini jadi projek rintis hubungan di Malaysia dan Thailand dapat pengiktirafan daripada kementerian pendidikan Thailand," katanya pada sidang media selepas menerima anugerah tersebut.
Beliau juga diberi peluang menulis buku teks Kajian Tempatan pada tahun 2006 dan 2007.
Manakala, seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2022, Datu Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah yang turut menerima wang tunai RM40,000 serta pingat emas bernilai RM10,000 terharu kerana dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.
Beliau yang merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pendidikan Islam Sarawak, bertanggungjawab menggerakkan usaha mengkaji semula beberapa aspek pendidikan formal dan pelaksanaannya di kawasan yang 'sukar-budaya' serta menyarankan kurikulum setempat juga menekankan empat tujuan pendidikan.
"Pendidikan kita amat penting sebagai jentera utama untuk membentuk generasi pelapis. Generasi masa akan datang yang kemudiannya membentuk dan menentukan hala tuju yang merdeka dari kepompong penjajahan samada dari segi pemikiran, jiwa, emosi dan fizikalnya.
"Melalui pendidikan kita harap akan terbentuk satu generasi memiliki ilmu pengetahuan yang berguna dan relevan pada masa dan ketikanya yang sama penting kemahiran-kemahiran yang memberi kekuatan dalam ilmu pengetahuan yang dimiliki itu untuk dioperasikan," katanya.
"Saya ingin mengingatkan ada empat tujuan pendidikan, pemikir pendidikan untuk pembentukan diri pelbagai komponen akal minda, akal jasmani.
"Kedua pendidikan sebagai jentera penting untuk menentukan anak yang lahir melalui proses pendidikan itu akan menjadi ahli masyarakat yang menentukan tradisi, budaya dan masyarakatnya dan juga menjadi pemangkin utama untuk merubah masyarakatnya kepada sesuatu yang lebih baik," katanya.
Tambahnya, dalam kata lain pendidikan akan menentukan kelangsungan bukan saja dirinya perkembangan pertumbuhan peribadi tadi tetapi juga masyarakat dan keluarganya.
"Ketiga, individu itu yang mempunyai kemahiran teknikal dapat menjana pendapatan untuk keluarga, masyarakat dan negara. Terakhir adalah sumber manusia yang berwibawa demi melahirkan warga dunia. Ia hendaklah digerakkan melalui tiga komponen penting dalam pendidikan.
Program pendidikan hendaklah berkualiti relevan dengan masyarakat dan zamannya," katanya yang turut memperingatkan guru agar melakukan pencapaian berkualiti.
Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.
#Hari Guru #Kementerian Pendidikan #sekolah rendah #tokoh #Roslan Yatim #Dr Adi Badiozaman
;