Perampas kapal Orkim Harmony bertutur loghat Indonesia - Panglima TLDM
Astro Awani
Jun 19, 2015 09:28 MYT
Jun 19, 2015 09:28 MYT
Kumpulan perampas di atas kapal tangki minyak yang hilang sejak minggu lalu, MT Orkim Harmony dikatakan bertutur dalam loghat Indonesia.
Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi laman Twitternya pada Khamis, sekurang-kurangnya lapan individu yang memiliki senjata berada di atas kapal tangki MT Orkim Harmony terbabit.
Semalam, Abdul Aziz berkata, kesemua anak kapal terbabit berada dalam keadaan selamat dan pihaknya sedang melakukan rundingan dengan perampas untuk menyerah diri.
Sebelum ini, perampas kapal tangki MT Orkim Harmony dilaporkan menuntut supaya mereka dibebaskan sebagai balasan untuk mereka membebaskan kru kapal terbabit.
BACA: Orkim Harmony: Kru selamat, rundingan dengan perampas sedang dijalankan
“Buat masa ini KD Terengganu sedang berkomunikasi dengan kapten perompak dengan menggunakan frekuensi radio,” katanya.
Kapal yang dilaporkan hilang sekitar 8.57 malam pada Khamis lepas itu dimiliki oleh Magna Meridian Sdn Bhd.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) percaya sebanyak 6 ,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta yang dibawa oleh kapal tangki itu, masih dalam keadaan baik.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Maritim , Laksamana Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata perkara itu disahkan oleh pemilik kapal tangki minyak berkenaan, yang dihubungi untuk mengenalpasti kapal itu selepas dikesan pada Rabu lalu.
Berdasarkan imej yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia, pemilik kapal mengesahkan identiti kapal berkenaan .
Untuk memastikan kapal tangki minyak itu sentiasa dalam kawalan pasukan keselamatan, sebuah kapal APMM, KM Amanah dan kapal KD Terengganu digunakan dan ia berada pada jarak 10 kilometer dari kapal tangki minyak tersebut.
Sehingga kini, 16 buah kapal serta empat pesawat dengan 1,200 pegawai dan anggota APMM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kapal tangki tersebut.
Kapal tangki yang dikesan di perairan Kemboja pada Rabu selepas terputus hubungan selama seminggu dilapor telah dicat warna hitam sebagai taktik penyamaran.
Bukan itu sahaja, ia juga dinamakan semula sebagai Kim Harmon.
MT Orkim Harmony hilang ketika belayar dari Melaka ke Kuantan itu membawa 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.