Peralihan tenaga bersih di KHTP boleh jadi teladan taman perindustrian lain
Bernama
Ogos 30, 2024 04:15 MYT
Ogos 30, 2024 04:15 MYT
KULIM: Usaha peralihan tenaga bersih yang dilaksanakan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) boleh dijadikan contoh kepada taman teknologi perindustrian di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah berkata usaha di KHTP itu seiring dengan aspirasi sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Dalam landskap tenaga dunia, negara dengan ekonomi yang pesat membangun telah mula menggalakkan peralihan tenaga secara berkesan.
"Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, Menggalakkan Peralihan Tenaga Berkesan 2023, negara seperti China, India, Brazil dan Indonesia merupakan antara negara utama dunia yang menunjukkan lonjakan ketara dalam peralihan tenaga," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW, NUR Power Sdn Bhd di sini pada Jumaat.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kebanyakan negara telah mengalihkan tumpuan kepada keselamatan tenaga dengan mengutamakan jaminan pembekalan, mengenepikan ekuiti dan melaksanakan peralihan yang lebih pantas serta inklusif untuk masa depan tenaga yang lebih mampan, selamat dan saksama.
Beliau menegaskan hala tuju yang digariskan dalam NIMP 2030 dan NETR akan kekal sebagai sekadar polisi jika tidak disokong oleh pemain industri.
"Dasar dan hala tuju kerajaan pada masa hadapan akan berpaksikan kepada peralihan tenaga yang seimbang yang perlu diuruskan secara berkesan.
"Peralihan tenaga akan menjadi paksi utama dalam pelbagai sektor termasuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang akan menggalakkan tenaga bersih, inovasi, dan kecekapan tenaga di samping memastikan peralihan itu memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat," katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata menerusi turbin gas kitaran terbuka NUR Power yang dilancarkan hari ini dijangka menjana kuasa hingga 90 megawatt (MW), tambahan kepada keupayaan penjanaan sedia ada oleh NUR Power iaitu sebanyak 220MW bagi memenuhi permintaan elektrik di KHTP yang semakin meningkat.
Menurut Fadillah pelaburan berskala besar dan berteknologi tinggi di KHTP hanya dapat direalisasikan dengan adanya bekalan tenaga yang konsisten dan boleh dipercayai untuk menyokong operasi mereka.
Beliau berkata ini termasuk pelaburan syarikat gergasi dari Jerman, Infineon Technologies AG yang menambah pelaburan sebanyak EUR5 bilion atau kira-kira RM30.1 bilion untuk fasa kedua pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter di KHTP, baru-baru ini.
"Dengan wujudnya stesen jana kuasa yang baharu, saya yakin KHTP akan kekal menjadi pilihan utama pelabur melalui prasarana yang bertaraf dunia, cekap tenaga dengan menawarkan tarif yang kompetitif di Semenanjung ketika ini," katanya.
Pada majlis tersebut Fadillah turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen perjanjian antara NUR Power dan UEM Lestra Bhd, anak syarikat UEM Group Bhd dengan UEM Lestra mengambil alih hingga 51 peratus kepentingan dalam NUR Power.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi NUR Power Datuk Mohd Sidek Ahmad dan Pengarah Urusan NUR Power Ikwan Hafiz Jamaludin.
-- BERNAMA