Peralihan monsun punca cuaca lembap, bawa risiko banjir kilat dan tanah runtuh - MetMalaysia
Madiha Abdullah
September 20, 2021 14:19 MYT
September 20, 2021 14:19 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca waspada iaitu hujan lebat dijangka berlaku di beberapa lokasi di Sabah dan Labuan, sehingga Selasa.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah bagaimanapun menjelaskan, fenomena ini bukan perkara luar biasa kerana negara ketika ini sedang dalam penghujung monsun Barat Daya yang dijangka berakhir 24 September ini.
"Monsun Barat Daya yang bermula Mei lalu dijangka berakhir dalam masa empat hari lagi dan akan bermulalah fasa peralihan monsun.
"Sejak Ogos, kita berada dalam keadaan yang dipanggil monsoon break atau monsun melemah, dimana berlakunya perubahan pada arah tiupan angin.
"Ini mempengaruhi cuaca kerana apabila arah tiupan angin berubah ia akan membawa kelembapan yang tinggi yang akan menyebabkan cuaca lembap seperti hujan dan ribut petir," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
Justeru, beliau tidak menolak keadaan cuaca semasa berpotensi membawa fenomena seperti banjir kilat, tanah runtuh dan kepala air.
"Ada risiko berlakunya fenomena tersebut terutamanya bagi kawasan berisiko seperti kawasan rendah, kaki bukit dan yang berhampiran dengan sungai," ujarnya.
Amaran MetMalaysia | Amaran cuaca waspada cetuskan kebimbangan