Peralihan kuasa kepimpinan PDRM: 'Tidak ada apa yang janggalnya' - KPN Acryl Sani

Ridauddin Daud
Jun 22, 2023 12:18 MYT
Acryl Sani menyedari ada pihak yang mungkin berasa pelik dengan keputusannya untuk bersara lebih awal, namun menegaskan tiada apa yang janggal berhubung keputusannya itu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, tiada apa yang janggal dalam proses peralihan kuasa kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan dirinya.
Acryl Sani menyedari ada pihak yang mungkin berasa pelik dengan keputusannya untuk bersara lebih awal, namun menegaskan tiada apa yang janggal berhubung keputusannya itu.
“Percayalah…bahawa tidak ada apa yang janggalnya dalam proses peralihan kuasa ini…peralihan kepimpinan PDRM ini.
“Kebetulan situasi memerlukan untuk saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan kehidupan.
BACA: Acryl Sani bersara awal sebagai Ketua Polis Negara
“Justeru, saya tinggalkan pasukan keramat ini dengan penuh rasa lapang dada, dengan penuh tulus dan ikhlas kerana saya percaya, tuan-tuan dan puan-puan yang ada di hadapan saya dan rakan di luar sana akan terus kekal mantap untuk kita laksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara Dan Timbalan Ketua Polis Negara, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Saifuddin sebelum itu menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara melibatkan Acryl Sani kepada Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.
Beliau turut menyempurnakan majlis sama Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Pelantikan baharu buat kedua-dua kepimpinan baharu PDRM itu akan berkuat kuasa pada 23 Jun 2023.
Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara baharu
Sementara itu, dalam ucapan sama, Acryl Sani turut mengingatkan anggota polis untuk terus melaksanakan tugas sebaik mungkin dan terus rapat dengan masyarakat.
“Ingatlah logo kita, ingatlah slogan kita, sedia berkhidmat.
"Ingatlah lirik-lirik lagu Polis Sedia Berkhidmat yang menuntut kita untuk sentiasa rapat dengan masyarakat yang akhirnya kita menggunakan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“Sememangnya kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat,” ujarnya.
Acryl Sani sebelum ini mengumumkan akan menamatkan kontraknya lebih awal iaitu pada Julai ini.
Terdahulu, kontrak beliau disambung untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Oktober 2021 hingga 3 Oktober tahun ini.
Acryl Sani berkata, beliau akan mengundurkan diri dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu pertama Julai ini.
Saifuddin dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
BACA: Tiada kontroversi dalam soal penggantian Acryl Sani - Saifuddin Nasution
#Acryl Sani Abdullah Sani #Ketua Polis Negara #Peralihan kuasa kepimpinan PDRM #tiada apa yang janggal
;