Peralihan kuasa: Anwar beri penjelasan kepada Dewan Rakyat

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 15, 2019 17:07 MYT
Anwar berharap tiada lagi cubaan jahat untuk mengeruhkan keadaan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik, malah dalam kalangan rakyat. - Gambar fail
Tidak timbul lagi isu peralihan kuasa Perdana Menteri melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam penjelasannya kepada Dewan Rakyat turut berharap supaya tiada lagi cubaan jahat untuk mengeruhkan keadaan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik, malah dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, tegasnya tarikh tepat peralihan kuasa Perdana Menteri tidak sesuai untuk diumumkan sekarang lantaran ia akan menyebabkan fungsi Perdana Menteri ketika itu akan terjejas.
“Saya juga ditanya di New York dengan JP Morgan dan Bank or America, semua tanya soalan sama. (Soalan) kepada Perdana Menteri sidang (temu bual) Bloomberg ditanya soalan sama. Menteri Kewangan di Washington DC sewaktu berbincang pelabur juga ditanya soalan sama.
“Kalau kita jawab sama… Saya ada pertemuan berkala tiap minggu dengan Perdana Menteri. Bagi kami hal ini selesai. Untuk diminta umumkan tarikh, saya juga fikir tidak sesuai. Kalau sebut tarikh sekarang, maka keberkesanan Perdana Menteri yang ada itu akan terjejas.
“Jadi kita nak pertahankan ini, yang lain itu tawakal kepada Allah, iaitu bahawa masalah transisi sepatutnya selesai dalam kalangan rakyat dan kalau ada cubaan-cubaan kecil, bisikan-bisikan syaitan ini, kita boleh ketepikan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Sewaktu perbahasan itu, beberapa Ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang mengemukakan isu peralihan kuasa kepada Anwar.
Jelasnya, ketetapan yang dibuat sebelum ini oleh Pakatan Harapan tidak berubah sekaligus, Anwar berharap supaya pelaburan asing akan kekal masuk ke negara ini, selain berharap pasaran saham tidak terjejas.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #kerajaan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pembangkang #peralihan kuasa #Perdana Menteri #politik #rakyat #undang-undang
;