Peralihan kepimpinan ICDM, Jackie Mah ganti Michele Kythe Lim
Nabilah Khaleeda
Mac 7, 2025 11:50 MYT
Mac 7, 2025 11:50 MYT
Jackie Mah (kiri) bakal menggantikan Michele Kythe Lim sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 5 Ogos 2025.
KUALA LUMPUR: Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) mengumumkan peralihan kepimpinan organisasi itu, dengan Jackie Mah bakal menggantikan Michele Kythe Lim sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 5 Ogos 2025.
Pengerusi ICDM, Tan Sri Zarinah Anwar berkata peralihan ini merupakan sebahagian daripada pelan perancangan penggantian kepimpinan yang tersusun.
"Sebagai Presiden dan CEO pertama ICDM, Michele telah memainkan peranan penting dalam membentuk ICDM sebagai rangkaian utama bagi meningkatkan profesionalisme pengarah.
"Di bawah kepimpinannya, kami telah mencapai pelbagai kejayaan, termasuk memperkukuh bakat pengarah baharu dan meningkatkan kepelbagaian dalam lembaga pengarah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Michele, yang telah berkhidmat selama tujuh tahun, akan bekerjasama rapat dengan Jackie dalam tempoh peralihan bagi memastikan penyerahan tugas yang lancar.
Jackie, yang kini merupakan Naib Presiden Eksekutif ICDM sejak 2018, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF).
Beliau juga merupakan akauntan bertauliah dengan keahlian dalam ACCA dan MIA, serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan korporat.
Menurut ICDM, pelantikan Jackie adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh kompetensi kepimpinan organisasi dalam mencapai pertumbuhan serta aspirasi ke arah memperkasakan profesionalisme pengarah korporat di Malaysia.
ICDM, yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan disokong oleh Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia serta Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF), komited dalam menyediakan pembangunan profesional berterusan kepada pengarah dan ahli lembaga syarikat di negara ini.