Peralihan ke endemik, pembukaan sempadan bantu tingkatkan ekonomi negara

Bernama
April 17, 2022 10:00 MYT
MUSTAPA: Ekonomi kita semakin pulih, cuma mempunyai risiko dari luar seperti perang Rusia-Ukraine yang memberi cabaran kepada ekonomi dunia termasuk peningkatan harga komoditi seperti jagung dan minyak yang perlu kita hadapi. -Gambar fail/Bernama
JELI: Fasa Peralihan ke Endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa jelas memberi kesan baik kepada ekonomi negara berbanding fasa pandemik sejak dua tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Kuasa jual beli meningkat, jika kita pergi mana-mana pasar raya, pusat beli-belah kita dapati rakyat mula keluar untuk urusan berniaga dan membeli-belah, begitu juga apabila sempadan telah dibuka ekonomi antarabangsa sedikit sebanyak meningkat.
"Ekonomi kita semakin pulih, cuma mempunyai risiko dari luar seperti perang Rusia-Ukraine yang memberi cabaran kepada ekonomi dunia termasuk peningkatan harga komoditi seperti jagung dan minyak yang perlu kita hadapi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) Musim Perayaan Aidilfitri di Bukit Bunga di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Bernama melaporkan ekonomi Malaysia dijangka mengukuh tahun ini sejajar dengan usaha negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik yang dimulakan dengan langkah pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak 1 April lepas.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang sekitar 6.0 peratus (2021: 3.1 peratus) bagi tahun ini manakala KDNK suku pertama dijangka mencatat pertumbuhan 5.0 hingga 6.0 peratus (2021: -0.5 peratus).
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, bagaimanapun berkata kehadiran pelancong dari luar negara pula dijangka meningkat menjelang 2025 atau 2026.
"Pergerakan keluar masuk (sektor pelancongan) masih lagi terhad walaupun kedatangan pelancong banyak memberi kesan kepada ekonomi negara seperti membeli-belah, pengangkutan dan hotel.
Dari segi pelancong domestik, ia dilihat meningkat kerana rakyat kita mula melancong dalam negara dan kita yakin ini akan berterusan," katanya.
-- BERNAMA
#Mustapa Mohamed #Fasa Peralihan Ke Endemik #fasa pandemik #KDNK
;