Peralihan ke endemik: Kerajaan hargai pengorbanan rakyat - Ronald

Bernama
April 9, 2022 05:15 MYT
Ronald (berdiri, kanan) dan ADUN Labuk Samad Jambri (berdiri, kiri) menyampaikan zakat kepada asnaf pada majlis penyampaian sumbangan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Beluran dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Labuk, Beluran, 9 Apr 2022. --fotoBERNAMA
BELURAN: Kerajaan menghargai pengorbanan dan kerjasama rakyat dalam mematuhi pelbagai sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) selama dua tahun berhadapan dengan pandemik COVID-19, sehingga negara berjaya memasuki fasa peralihan ke endemik.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kerajaan turut berterima kasih kepada rakyat kerana menjayakan pelbagai program kerajaan seperti program vaksinasi COVID-19 bagi membolehkan kehidupan kembali seperti sebelum pandemik melanda.
"Walaupun masih ada SOP yang perlu dipatuhi (dalam peralihan ke fasa endemik), tetapi rakyat kini boleh bergerak bebas dan melakukan aktiviti sosial tanpa sekatan lagi.
"Kita berharap pandemik ini akan cepat berlalu agar rakyat tidak terus risau akan penularan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di Beluran di sini pada Sabtu.
Pada majlis itu, Ronald yang juga ahli Parlimen Beluran, melancarkan Program Sinar Hijrah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) daerah Beluran.
-- BERNAMA
#Ronald Kiandee #COVID-19 #pandemik #SOP
;