Peralihan jawatan tidak akan melemahkan kedudukan Tok Mat - Penganalisis

Azyyati Ahmad
Disember 13, 2023 11:26 MYT
Peralihan Jawatan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar Negeri tidak dilihat sebagai melemahkan kedudukannya di dalam parti UMNO seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
KUALA LUMPUR: Peralihan jawatan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar Negeri tidak dilihat sebagai melemahkan kedudukannya di dalam parti UMNO seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
Ketua Kluster Keselamatan dan Kestabilan Negara, Majlis Profesor UUM, Prof Muhammad Fuad Othman berkata, lantikan Mohamad adalah bagi mengukuhkan cabaran dalam hubungan antarabangsa susulan kredibiliti yang ada pada Ahli Parlimen Rembau itu.
Muhammad Fuad turut mengambil contoh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah sangat cemerlang berperanan sebagai Menteri Luar Negeri yang akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri kelima.
"Tok Mat (Mohamad) ada pedigree, kemampuan dan kemahiran diplomatik yang perlu digunakan nantikan bagi memastikan Malaysia harum dan boleh berkawan dengan semua negara. Konsep hubungan luar kita sememangnya adalah berkawan negara kecuali Isreal. Saya kira, inilah yang diharapkan oleh Perdana Menteri kita,
"Jangan lupa, Pak Lah (Tun Abdullah) juga sebelum ini merupakan Menteri Luar, sekiranya kata-kata yang mengatakan bahawa Menteri Luar ini adalah menteri 'cold storage' adalah tidak benar. Kita ada Menteri Luar yang diangkat menjadi Perdana Menteri," katanya lagi.
Dalam rombakan Kabinet pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penukaran portfolio Mohamad Hasan dari Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar Negeri sementara timbalannya pula ialah Datuk Mohamad Alamin.
Jawatan Menteri Pertahanan kini digalas oleh Datuk Seri Khaled Nordin dan dibantu timbalannya, Adly Zahari.
#Abdullah Ahmad Badawi #Mohamad Hasan #Anwar Ibrahim #rombakan kabinet
;