Peralihan fasa PPN: Pendekatan tidak berpusat bagi negeri lebih pragmatik untuk kesihatan awam, ekonomi

Bernama
Julai 3, 2021 18:15 MYT
Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Pulau Pinang dan kerajaan negeri memudahkan ujian saringan COVID-19 untuk mengenal pasti kes seawal mungkin. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Pendekatan tidak berpusat yang membolehkan negeri-negeri meneruskan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan mencapai indikator nilai ambang masing-masing adalah lebih pragmatik dalam mengimbangi impak kesihatan awam dan ekonomi.
Dalam kenyataan, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata ini berdasarkan situasi COVID-19 dan kemajuan program imunisasi adalah berbeza di setiap negeri.
"Walaupun negara mempercepatkan vaksinasi COVID-19, pendekatan yang fleksibel dalam memberi kelonggaran kepada aktiviti ekonomi berdasarkan mencapai indikator negeri masing-masing dalam tempoh peralihan ini mungkin lebih wajar," katanya.
Pada 15 Jun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPN empat fasa dengan tiga indikator nilai ambang utama perlu dicapai sebelum negara dapat melangkah ke fasa seterusnya, iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
Beliau berkata nilai ambang 4,000 kes menunjukkan bahawa kes baharu harian perlu berada di bawah 0.012 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, dan pada masa ini, purata kes baharu harian negara pada Jun sebanyak 5,987 (0.018 peratus).
"Bagaimanapun, dalam konteks Pulau Pinang, purata kes baharu harian pada Jun sebanyak 196, mewakili 0.011 peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang sebanyak 1.78 juta, iaitu di bawah indikator nilai ambang, manakala kadar vaksinasi semasa menunjukkan seramai 419,344 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos (24 peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang), dan 7.0 peratus telah divaksinasi sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata dengan usaha berterusan negeri untuk mempercepatkan kadar vaksinasi serta komitmen kerajaan Persekutuan untuk memberikan 591,532 dos vaksin COVID-19 kepada Pulau Pinang pada Julai dan mengoptimumkan operasi pusat vaksinasi, jumlah dos vaksin yang diberikan berada pada aliran meningkat dan ke arah mencapai nilai ambang 10 peratus divaksinasi sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya untuk mempunyai pelan keluar yang berkesan, berkongsi data yang telus dan komprehensif untuk setiap indikator adalah penting berikutan hanya dengan mempunyai maklumat terkini yang mencerminkan situasi sebenar di lapangan, rakyat dan sektor swasta dapat bertindak secara kolektif dan sewajarnya untuk mencapai indikator bagi pelbagai peringkat pelan keluar tersebut.
Oleh itu, katanya ketelusan data peringkat negeri mengenai ujian saringan harian yang dijalankan; ketersediaan katil ICU dalam sistem penjagaan kesihatan dan jumlah vaksin yang dibekalkan amat diperlukan.
"Pada masa ini, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Pulau Pinang dan kerajaan negeri memudahkan ujian saringan COVID-19 untuk mengenal pasti kes seawal mungkin untuk membendung penularan sebelum berubah menjadi kluster baharu.
"Banyak pusat vaksinasi telah diwujudkan oleh negeri dan sektor swasta untuk menyokong peningkatan jumlah vaksinasi, dan yang penting, sektor swasta bersedia untuk menyokong keperluan sistem penjagaan kesihatan awam dan meningkatkan kemudahan tersebut," katanya.
Selain itu, katanya penguatkuasaan SOP yang berterusan di seluruh negara dan sekatan pergerakan bersasar dapat menjadi satu-satunya cara untuk mencapai keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam kalangan rakyat dan perniagaan, terutamanya yang terjejas teruk oleh sekatan pergerakan.
#peralihan fasa #fasa PPN #Pelan Pemulihan Negara #nilai ambang #pragmatik #kesihatan awam #ekonomi #pulau pinang
;