Peralihan fasa PPN: Ismail Sabri akan umum nilai ambang negeri-negeri esok
Astro Awani
Julai 2, 2021 22:04 MYT
Julai 2, 2021 22:04 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan perincian mengenai negeri-negeri yang telah mencapai nilai ambang pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan ringkas di Facebooknya, Ismail Sabri menjelaskan pihaknya sedang menyiapkan penelitan mengenai perkara tersebut.
"Hampir lengkap penelitian minggu ini berkaitan negeri-negeri lain yang telah mencapai nilai ambang. Masih ada yang perlu disiapkan.
"Insya-Allah saya akan mengumumkannya dalam sidang media esok. Nantikan," katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini, menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' ataupun 'threshold' atau dikenali juga sebagai nilai ambang untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan beberapa negeri antaranya Perlis, Kelantan dan Terengganu dijangka beralih ke Fasa 2 PPN minggu depan.
Keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ di beberapa negeri dibuat oleh pentadbiran Putrajaya berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan hasil Pelan Pemulihan Negara.
Berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh Astro AWANI, perincian mengenai peralihan di negeri-negeri tersebut sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu.
#ismail sabri yaakob
#Pelan Pemulihan Negara
#Fasa 1
#nilai ambang
#umum
#PKP
#Fasa dua
#kelonggaran sop