Peralihan fasa endemik bergantung perkembangan mutasi - Khairy
Sinar Harian
September 7, 2022 22:32 MYT
September 7, 2022 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti keadaan mutasi baharu COVID-19 sebelum membuat pertimbangan untuk negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, banyak perkara perlu dinilai sebelum kerajaan mengambil keputusan penting itu kerana keutamaan adalah keselamatan rakyat.
“Kita tidak ada kuasa untuk menentukan bagaimana virus ini bermutasi. Kalau lihat kepada sejarah virus (COVID-19) ia telah menyebabkan pandemik kepada manusia. Jadi, sekarang ini kita perlu lihat bagaimana virus bergerak.
“Jadi, persoalan bila hendak beralih sepenuhnya ke fasa endemik ini ia banyak bergantung kepada mutasi sebab itu kita berasakan kajian perlu diteruskan berkenan dengan varian yang ada serta kesannya.
“KKM berpendapat kita masih perlu berhati-hati sebab tidak tahu apakah virus mutasi ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Kerajaan pada 1 April lalu mengumumkan Malaysia memasuki ke fasa peralihan ke endemik dengan pelbagai protokol masih perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Peralihan itu menyaksikan pelbagai kelonggaran telah dibuat antaranya membuka semula pintu sempadan negara. - Sinar Harian